PERANAN wanita dalam ekosistem perniagaan Malaysia semakin menyerlah. Mereka kini menjadi pemacu penting dalam pembangunan ekonomi, khususnya melalui sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mewakili lebih 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan.
PMKS menyumbang hampir 39 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala pemilikan perniagaan wanita sekitar 20 peratus. Angka ini menunjukkan potensi besar untuk diperluas dengan syarat wujud intervensi yang strategik dan mampan.
Antara pendekatan berkesan ialah Pendidikan Dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET). Dahulu TVET dianggap laluan untuk pelajar kurang cemerlang akademik, namun kini terbukti sebagai platform pembangunan kemahiran berimpak tinggi.
TVET bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir tetapi juga usahawan berinovasi yang mampu mengkomersialkan kemahiran mereka. Dengan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 95 peratus, lebih 1,000 institusi TVET kini menawarkan program yang menggabungkan kemahiran teknikal dan keusahawanan. Ia merupakan ruang penting untuk wanita memperkukuh potensi diri.
Namun, masih wujud tiga jurang utama yang perlu diatasi iaitu kemahiran niaga, digital dan jaringan perniagaan.
Pertama, ramai wanita memiliki kemahiran teknikal seperti memasak, menjahit, atau menghasilkan produk kecantikan tetapi kurang kemahiran mengurus perniagaan.
Tanpa pengetahuan tentang kos, pemasaran dan aliran tunai, keuntungan sukar dikekalkan.
TVET berupaya menutup jurang ini melalui modul keusahawanan praktikal meliputi pengurusan kewangan, penetapan harga, kajian pasaran serta struktur perniagaan yang sesuai.
Menurut teori modal insan, pelaburan dalam pendidikan meningkatkan produktiviti dan pulangan jangka panjang, prinsip yang amat relevan untuk wanita yang mahu beralih daripada penghasilan produk kepada pengurusan perniagaan berstruktur.
Kedua, jurang digital. Ekonomi digital dijangka menyumbang lebih 25 peratus kepada KDNK Malaysia tetapi tidak semua usahawan wanita bersedia. Ramai masih bergantung kepada media sosial tanpa strategi konten dan kefahaman data pelanggan.
TVET boleh memainkan peranan dengan menawarkan latihan e-dagang, reka bentuk digital, penyuntingan video dan analitik data supaya wanita mampu menjadikan interaksi digital sebagai jualan sebenar.
Ketiga, jurang jaringan. Usahawan wanita sering berdepan kesukaran mendapat akses kepada pasaran, pembekal dan pembiayaan. Pendekatan TVET yang berteraskan industri dan komuniti boleh membantu.
Apabila industri terlibat dalam proses pembelajaran, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran teknikal tetapi juga peluang membina rangkaian strategik.
Konsep modal sosial menjelaskan jaringan kukuh mempercepatkan pembelajaran dan mengurangkan kos transaksi, justeru kolaborasi antara institusi TVET, agensi kerajaan dan sektor industri amat penting.
Di samping itu, cabaran gender turut perlu diambil kira. Kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia masih di bawah 60 peratus, sebahagiannya kerana tanggungjawab keluarga. Oleh itu, program TVET yang fleksibel seperti mikrokredensial dan pembelajaran campuran boleh menjadi solusi.
Wanita boleh menyesuaikan jadual pembelajaran mengikut keperluan keluarga tanpa mengorbankan kemajuan kerjaya.
Dari sudut kurikulum, TVET perlu disusun berasaskan prinsip efektuasi iaitu memulakan perniagaan dengan apa yang ada, menilai risiko yang mampu ditanggung dan membina jaringan awal.
Pendekatan ini membantu wanita memulakan perniagaan kecil dengan sumber terhad melalui projek jualan rintis, pembangunan produk cepat dan strategi pengembangan realistik.
Kajian Global Entrepreneurship Monitor (GEM) 2023 menunjukkan 65 peratus usahawan baharu di negara membangun bermula dengan sumber terhad, manakala laporan Bank Dunia (2022) pula mendapati pembelajaran berasaskan pengalaman meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET hingga 30 peratus.
Dalam konteks digital, TVET perlu melatih wanita mencipta kandungan pemasaran berimpak tinggi, bermula dengan hook menarik dalam tiga saat pertama, diikuti testimoni dan tawaran jelas. Mereka juga harus mahir membaca data kecil seperti kadar klik dan komen pelanggan untuk memperkukuh strategi jualan.
Bagi menutup jurang pembiayaan, geran kecil bersyarat, baucar digital dan dana permulaan boleh digandingkan dengan modul TVET supaya setiap pelaburan memberi kesan berganda terhadap prestasi perniagaan.
Akhirnya, kejayaan TVET tidak wajar diukur berdasarkan jumlah sijil dikeluarkan semata-mata tetapi kepada peningkatan keuntungan, pertumbuhan pelanggan dan kekuatan jaringan komuniti usahawan wanita.
TVET mempunyai potensi besar untuk mengubah landskap keusahawanan wanita Malaysia. Dengan menutup jurang kemahiran niaga, digital dan jaringan, TVET bukan sahaja memperkasa wanita menghasilkan produk berkualiti tetapi juga membina perniagaan mapan.
Jika Malaysia mahu menuju ekonomi inklusif dan berdaya tahan, ia bermakna memperkasa wanita melalui TVET bukan pilihan sampingan sebaliknya strategi utama untuk menjadikan kemahiran tangan wanita sebagai kekuatan ekonomi negara.-UTUSAN
MASTURA ISA & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Laisa Skills Academy & Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan










