Sabah perlu kekal dengan politik matang, tempatan

Sabah perlu kekal dengan politik matang, tempatan

RAKYAT Sabah wajar menilai dengan bijaksana, pilihlah parti yang mampu membawa keamanan, kestabilan dan kesejahteraan jangka panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN politik di Semenanjung memperlihatkan kewujudan budaya politik kelompok iaitu parti tertentu dianggap hanya layak untuk negeri tertentu.

Bagi sebahagian pengundi, tidak kira apa pun isu yang timbul sama ada ekonomi perlahan, pembangunan terhad atau peluang pekerjaan yang semakin mengecil namun kesetiaan terhadap parti tetap tidak berubah. Prinsipnya mudah, parti kita untuk negeri kita.

Pada hari mengundi, mereka sanggup pulang ke kampung walau tiket habis, menaiki bas bersambung-sambung asalkan dapat menunaikan tanggungjawab mengundi parti pilihan. Bagi mereka, parti itu mesti dipertahankan dan wajib terus memerintah. Walaupun terpaksa merantau jauh mencari rezeki, semangat politik mereka tidak pernah luntur. Ibu bapa di kampung pula diyakinkan supaya tetap memilih parti yang sama, seolah-olah tiada pilihan lain.

Sentimen ‘Sabah for Sabahan’ semakin relevan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Ramai percaya negeri ini wajar dipimpin parti tempatan yang memahami denyut nadi rakyat sendiri.

Parti ‘import’ dari Semenanjung boleh datang dengan pelbagai janji dan tawaran, namun sejarah politik menunjukkan kehadiran mereka sering bersifat sementara. Lima tahun kemudian, mereka mungkin datang lagi membawa janji baharu dan retorik lama.

Hakikatnya, hanya pemimpin tempatan yang benar-benar memahami corak sosial, budaya dan keperluan rakyat Sabah. Mereka lebih arif tentang bagaimana menakhoda negeri yang berbilang etnik ini agar terus harmoni. Maka, tidak mustahil PRN kali ini akan menyaksikan parti luar yang datang kosong akhirnya pulang juga dengan tangan kosong.

Namun, kelebihan dan kelemahan tetap wujud pada kedua-dua pihak. Parti pemerintah di peringkat pusat misalnya, memiliki kelebihan sumber dan pengaruh yang tidak dimiliki parti lain. Tetapi kelebihan itu tidak menjamin penerimaan automatik rakyat.

Budaya politik di Semenanjung, yang sarat dengan persaingan berterusan dan pertembungan tanpa henti, mungkin tidak sesuai dibawa ke Sabah. Di Semenanjung, politiking seolah-olah tiada ‘lampu merah’ sepanjang lima tahun. Pertikaian tidak pernah surut. Soalnya, adakah gaya politik sebegini yang diinginkan rakyat Sabah?

Menjelang PRN, rakyat wajar menilai dengan bijaksana, pilihlah parti yang mampu membawa keamanan, kestabilan dan kesejahteraan jangka panjang.

Politik matang dan berpaksikan rakyat akan memastikan Sabah terus aman, makmur serta bebas daripada budaya politik berpuak yang sudah lama menjerat negeri lain.-UTUSAN

ZABIDI ZAKARIAH
Bekas Ketua Pemuda UMNO Tanjong Malim

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×