ADDIS ABABA: Parlimen Djibouti pada Ahad meluluskan pindaan perlembagaan untuk menghapuskan had umur bagi calon presiden, membuka laluan kepada Presiden Ismail Omar Guelleh yang kini berusia 77 tahun untuk bertanding semula bagi penggal keenam pada 2026.
Langkah itu diluluskan sebulat suara oleh ahli Parlimen, menurut Speaker Dileita Mohamed Dileita, sekali gus memansuhkan larangan sedia ada yang menghadkan calon presiden kepada usia maksimum 75 tahun.
“Dewan Negara telah meratifikasi penghapusan had umur hari ini, jadi ia kini rasmi,” kata Dileita.
Guelleh, yang memimpin negara kecil di Tanduk Afrika itu sejak 1999, dijangka berdepan tentangan minimum dalam pilihan raya akan datang memandangkan kebebasan bersuara dan media di negara itu sangat terhad.
Pindaan perlembagaan tersebut, yang telah diluluskan dalam undian awal minggu lalu dan disahkan oleh presiden sebelum dikembalikan untuk undian akhir, dikatakan perlu bagi memastikan kestabilan negara kecil di rantau yang bergolak seperti Somalia, Ethiopia dan Eritrea.
Guelleh memenangi pilihan raya terakhir pada 2021 dengan 97 peratus undi, manakala partinya, Union for the Presidential Majority (UMP), menguasai majoriti kerusi parlimen.
Beliau menggantikan Hassan Gouled Aptidon, bapa kemerdekaan Djibouti pada 1999 selepas berkhidmat sebagai ketua staf presiden selama 22 tahun.
Negara berpenduduk kira-kira sejuta orang itu terletak di laluan strategik Selat Bab el-Mandeb di Laut Merah dan menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera Amerika Syarikat, Perancis, China, Jepun dan Itali. -ARABNEWS










