Kor Ming minta maaf

Kor Ming minta maaf

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meminta maaf berhubung cara beliau menangani soalan daripada seorang wartawan ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ baru-baru ini.

Kor Ming berkata, beliau menerima semua teguran dengan hati terbuka berhubung isu tersebut dan tidak mahu memanjangkan lagi perkara itu.

“Saya tarik balik dan saya mohon maaf. Saya menerima semua teguran dengan hati terbuka dan enggan memanjangkan isu ini kerana mahu menumpukan sepenuhnya kepada kerja membina semula negara di bawah gagasan Kerajaan Madani.

“Sekiranya ada rakan-rakan media yang terasa hati dengan kata-kata saya, saya tarik balik dan mohon maaf.

“Saya mahu kita semua fokus kepada membina tanah air tercinta ini. Sepanjang hampir 30 tahun dalam perkhidmatan, saya sentiasa menghormati kebebasan media dan kebebasan bersuara,” katanya dalam sidang akhbar pada perasmian Taman Madani di Taman Boon Bak di sini hari ini.

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan mempertahankan tindakannya yang menegur seorang wartawan yang bertanyakan mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam slogan kempen rasmi kerajaan, iaitu prapelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kor Ming menegaskan bahawa interaksi antara wartawan dan individu yang ditemu bual haruslah bersifat dua hala yang mana kedua-dua pihak mempunyai hak masing-masing. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×