Media sosial bukan mahkamah syariah

Media sosial bukan mahkamah syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia serba digital, kini rumah tangga bukan lagi urusan peribadi semata-mata. Ramai pasangan hari ini menjadikan media sosial sebagai tempat berkongsi suka dan duka, seolah-olah setiap bab kehidupan perlu disiarkan kepada umum.

Apa yang dahulu sekadar ruang menzahirkan kasih sayang, kini berubah menjadi tempat meluah kecewa. Gambar mesra yang dulu dikongsi ketika bahagia, bertukar menjadi luahan marah dan sindiran selepas hubungan retak.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan dengan perbuatan yang dinormalisasi oleh segelintir artis atau pempengaruh dengan bilangan pengikut yang ramai, menjadikan hubungan suci rumah tangga sebagai tatapan umum, hingga membuka aib pasangan dan mengundang campur tangan netizen.

Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia, Pensyarah Huffaz Profesional Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Amaluddin Arshad, 40, berkata, rumah tangga bukan sekadar ruang untuk bahagia, tetapi satu amanah yang suci, dibina atas dasar saling percaya dan melindungi antara suami isteri.

Amaluddin Arshad
Jawatan/pekerjaan: Pensyarah,
Huffaz Profesional UNITEN
Usia: 40
Asal: Kota Tinggi, Johor
Pendidikan: Sarjana Muda (Kepujian) Al Quran & Qiraat, Universiti Al Azhar, Mesir

“Ada satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: Setiap umatku akan diampunkan kecuali orang-orang yang mendedahkan (dosanya).

“Hadis ini jelas menunjukkan Islam menegah perbuatan membuka aib, walaupun aib diri sendiri. Bayangkan, Allah tutup aib seseorang dengan penuh kasih sayang, tetapi dia sendiri yang membuka dan menayangnya kepada umum.

“Begitulah juga dalam rumah tangga. Hari ini, setiap kali berlaku perselisihan kecil, jari lebih laju menaip di ruangan status berbanding bersemuka dengan pasangan.

“Rumah tangga sepatutnya menjadi tempat saling melindungi, bukan medan menjatuhkan maruah antara satu sama lain. Menjaga rahsia rumah tangga memang sukar, namun itulah tanda kebijaksanaan dan kasih yang sebenar,” ujarnya.

Amaluddin berkata, ukuran kasih sayang dan kebaikan tidak ditentukan oleh bilangan tontonan atau like paparan di media sosial, tetapi bagaimana seseorang memperlakukan pasangannya di belakang tabir.

Beliau mengingatkan sabda Baginda SAW: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat al-Tirmizi).

“Ramai hari ini lebih sibuk mencipta imej bahagia di media sosial, tapi lupa menjaga kebahagiaan sebenar di rumah. Padahal yang dinilai Allah bukan gambar mesra, tapi akhlak terhadap pasangan,” katanya.

Beliau turut menyentuh, pasangan suami isteri yang menggunakan media sosial sebagai saluran untuk mengadu masalah peribadi sehingga ke hal ‘dalam selimut’.

Katanya, Islam tidak melarang seseorang meluahkan perasaan, namun ia mesti dilakukan pada saluran yang betul atau individu yang mampu membantu, bukan kepada umum di ruang maya.

“Dalam sejarah Islam, ada kisah Hindun binti Utbah yang datang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang suaminya, Abu Sufyan, yang tidak memberi nafkah secukupnya. Lalu Nabi menjawab:

‘Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anak-anakmu dengan cara yang baik.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Daripada kisah itu, kita faham bahawa aduan dibolehkan jika bertujuan mencari penyelesaian, bukan untuk membuka aib atau meraih simpati,” jelasnya.

Tambah beliau, meluah masalah di media sosial bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan konflik, malah membuka ruang fitnah dan menjatuhkan maruah kedua-dua pihak.

“Kadang-kadang niatnya hanya mahu luah perasaan, tapi akhirnya jadi bahan hiburan orang lain. Sedangkan perkara itu sepatutnya diselesaikan sesama pasangan, bukan di ruangan komen,” katanya.

Amaluddin juga menzahirkan kebimbangannya terhadap segelintir pasangan terutamanya artis atau pempengaruh risau dianggap rumah tangga tidak bahagia jika tidak berkongsi dengan para pengikut mereka.

Namun bagaimanapun, haruslah diingatkan tidak semua mata yang menonton atau mengetik butang ‘suka’ itu ikhlas mendoakan.

“Kadang-kadang niatnya hendak kongsi yang baik, tapi tanpa sedar boleh mengundang fitnah atau rasa hasad orang lain,” katanya.

Ironinya, dunia digital hari ini menjadikan setiap perkongsian seperti pertandingan kebahagiaan. Ada yang berpura-pura mesra demi konten, ada juga yang mencipta konflik untuk meraih perhatian dan pendapatan.

“Matlamat cari rezeki perlu datang bersama keberkatan. Jika cara yang digunakan menjatuhkan maruah sendiri atau pasangan, itu bukan lagi rezeki yang halal,” katanya.

Beliau berkata, media sosial seharusnya menjadi medan dakwah dan perkongsian ilmu, bukan tempat menjaja kisah peribadi atau menormalisasi perbuatan yang bercanggah dengan adab Islam.

“Setiap kali hendak memuat naik sesuatu tentang pasangan, tanya diri dulu, adakah ini membawa manfaat atau mudarat? Kalau boleh menimbulkan fitnah, berhenti di situ,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×