Kem badminton buat persiapan awal Piala Thomas

Kem badminton buat persiapan awal Piala Thomas

Rexy Mainaky
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara tidak mahu menunggu saat akhir untuk membuat persiapan menghadapi kempen Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April tahun depan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, perancangan rapi sudah mula disusun bagi memastikan Malaysia kembali menjadi pencabar utama kejohanan berpasukan paling berprestij itu.

“Sejak Datuk Seri Lee Chong Wei dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, kami sudah berbincang bahawa persiapan mesti dimulakan lebih awal.

“Bukan tunggu sebulan dua sebelum kejohanan baru mahu bersiap. Sebab itu mesyuarat akan diadakan November ini supaya menjelang Januari, semua pemain sudah boleh memulakan persiapan,” kata Rexy kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara, semalam.

Malaysia kali terakhir menjuarai Piala Thomas pada tahun 1992 di Kuala Lumpur, dan sasaran untuk menamatkan kemarau 33 tahun itu kini menjadi agenda utama di bawah pelan strategik Tangkis 2030 yang diterajui Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Rexy berkata, penyertaan di Sukan SEA Thailand hujung tahun ini turut dimasukkan dalam rangka pelan persiapan jangka panjang, khususnya bagi memupuk semangat berpasukan dalam kalangan pemain.

“Sukan SEA bukan ukuran sebenar kekuatan kita kerana tahap pertandingan jauh berbeza dengan Piala Thomas.

“Tapi ia boleh dijadikan medan untuk membina semangat berpasukan dan kesefahaman antara pemain, terutama yang bakal digabungkan dalam skuad ke Horsens nanti,” katanya.

Barisan utama negara yang bakal beraksi di Bangkok termasuk Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, serta perseorangan lelaki Leong Jun Hao dan Justin Hoh.

Dalam masa sama, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga dijangka menilai penyertaan beberapa pemain profesional seperti Lee Zii Jia, Aidil Sholeh Ali Sadikin, serta beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagi memperkuat cabaran negara di pentas Piala Thomas 2026.

Rexy turut mengakui kelebihan Malaysia ketika ini masih terletak pada sektor beregu, namun percaya pemain perseorangan mampu bangkit jika terus diberi motivasi dan kepercayaan.
“Saya percaya kita perlu saling menyokong. Saya harap pemain perseorangan menjadikan kejayaan beregu lelaki sebagai pembakar semangat.

“Mereka mungkin masih mencari kestabilan, tapi itu sebahagian daripada proses. Kita boleh lihat di bahagian wanita, pemain muda seperti Wong Ling Ching sudah menunjukkan kematangan dan konsistensi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×