Matrade sasar RM2.5 bilion dagangan menerusi MIHAS@Shanghai

Matrade sasar RM2.5 bilion dagangan menerusi MIHAS@Shanghai

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan RM2.5 bilion dagangan menerusi penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@Shanghai.

Pameran halal itu dijadual berlangsung pada 5 hingga 10 November ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC), Shanghai.

Penyertaan Malaysia bersempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) itu bakal menampilkan 250 syarikat tempatan merangkumi sektor utama seperti makanan dan minuman, produk pertanian, barangan pengguna pantas (FMCG), peralatan perubatan, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan kewangan dan perniagaan.

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pemilihan Shanghai sebagai lokasi penganjuran amat strategik dan tepat pada masanya dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi halal global.

“Ekonomi halal global kini berkembang pesat, dengan nilai pasaran dijangka meningkat daripada AS$3.5 trilion kepada lebih AS$5 trilion menjelang 2030, meliputi bukan sahaja makanan dan minuman halal tetapi juga logistik, farmaseutikal, kosmetik serta penjagaan diri.

“Perkembangan itu memberi peluang besar kepada pengeluar halal Malaysia yang terkenal dengan kualiti serta pematuhan terhadap piawaian antarabangsa, sekali gus memenuhi permintaan produk premium yang dipercayai di China,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, kejayaan MIHAS@Dubai 2024 yang mencatat jualan melebihi RM2.2 bilion, dua kali ganda daripada sasaran awal RM1 bilion, menjadi asas kepada penganjuran edisi antarabangsa kedua itu di Shanghai.

“MIHAS@Shanghai akan memperkukuhkan kehadiran Malaysia dalam pasaran halal China dan menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), ia akan menghimpunkan 100 pembeli termasuk 20 pembeli premium dari China serta peserta dari India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Brazil dan pasaran lain.

“Kejayaan berterusan MIHAS mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan perdagangan halal global serta mempromosikan produk tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.

China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM484.25 bilion, bersamaan 16.8 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, dagangan Malaysia-China meningkat 8.6 peratus kepada RM385.71 bilion (AS$89.29 bilion), iaitu 17.3 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan negara.

Dalam sektor halal, Malaysia merekodkan nilai eksport sebanyak RM61.79 bilion pada 2024, meningkat 15 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan China menyumbang RM6.25 bilion, menjadikannya pasaran eksport halal kedua terbesar Malaysia selepas Singapura,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×