31 syarikat terpilih sebagai Pengelola Jemaah Haji musim 1447H

31 syarikat terpilih sebagai Pengelola Jemaah Haji musim 1447H

MOHD Na'im Mokhtar (belakang tengah) bergambar bersama Pengelola Jemaah Haji (PJH) selepas Majlis Serahan Lesen PJH Musim Haji 1447H di Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sebanyak 31 syarikat pelancongan tempatan telah dipilih sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1447H/2026M selepas melepasi syarat pemilihan ketat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, mereka terpilih dalam kalangan 60 permohonan yang diterima oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang dinilai melalui jawatankuasa khas.

Katanya, ia turut menilai kekuatan kewangan, pematuhan kepada undang-undang serta rekod pengendalian haji pada tahun-tahun sebelumnya.

“Jadi, hari ini kita buat penyerahan sijil PJH kepada 31 syarikat dan saya yakin bahawa syarikat-syarikat ini mempunyai kekuatan kewangan dan mampu mengendalikan jemaah haji bagi musim 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) 1447H/2026 di sini hari ini.

Katanya, syarikat-syarikat tersebut diharap dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya, menjaga kebajikan, keselamatan dan membimbing jemaah agar memperoleh haji yang mabrur.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, pada musim haji lalu, sebanyak 28 peratus tawaran pakej haji di bawah RM55,000 telah diambil oleh jemaah melalui syarikat PJH.

“Pada tahun ini, TH juga mengekalkan jumlah minimum RM55,000 bagi pakej haji,” katanya.

Jelasnya lagi, syarat kewangan yang ketat juga dikenakan bagi memastikan hanya syarikat yang benar-benar kukuh dipilih.

“Kita tidak mahu tambah bilangan PJH kalau akhirnya mereka tak mampu urus jemaah. Kita lihat pada kualiti, bukan kuantiti,” katanya.

Mohd Na’im berkata, bagi musim haji depan, terdapat pelbagai pilihan pakej yang ditawarkan mengikut kemampuan dan kesesuaian bakal haji dengan harga bermula daripada RM40,000 sehingga RM329,990. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×