KDN ada petunjuk baharu lokasi menantu Muhyiddin

KDN ada petunjuk baharu lokasi menantu Muhyiddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan terdapat beberapa petunjuk baharu mengenai keberadaan ahli perniagaan yang dikehendaki, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, petunjuk baharu itu diperoleh hasil kerjasama  dengan Polis Antarabangsa (Interpol).

Bagaimanapun, katanya, beliau enggan mendedahkan secara terperinci keberadaan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu memandangkan siasatan masih berjalan.

“Isu sekarang ialah keberadaannya. Saya boleh sebut bahawa kerjasama antara kita dengan polis antarabangsa sedang berjalan dan sememangnya kita menemui beberapa petunjuk baharu.

“Saya tidak mahu berbincang dengan lebih lanjut sebab itu boleh mengganggu siasatan kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai adakah boleh meminta Muhyiddin (PN-Pagoh) memberi maklumat di mana keberadaan menantunya itu berada yang kini dikatakan melarikan diri ke luar negara.

Menyentuh persoalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai Interpol bagi mencari Muhammad Adlan, Saifuddin mengesahkan perkara berkenaan.

“Sememangnya, notifikasi oleh pihak berkuasa kita dalam pengetahuan Interpol.

“Pertemuan saya dengan Ketua Interpol di China beberapa minggu lepas, apabila perkara ini saya bangkitkan, beliau mengesahkan notifikasi kita ada dalam pengetahuan mereka,” katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap ahli perniagaan dikehendaki, Muhammad Adlan, 49, sudah selesai.

Namun beliau memaklumkan bahawa, hasil siasatan itu menjadi sebab pihaknya sedang giat mengesan individu berkenaan.

“Siasatan sudah selesai. Semua keterangan saksi sudah diambil. Tinggal (Muhammad) Adlan dan peguamnya saja untuk kembali bagi menghadapi pertuduhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×