Rina harap tambahan kerusi calon wanita dapat direalisasikan

Rina harap tambahan kerusi untuk calon wanita dapat direalisasikan

Rina Jainal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Rina Jainal menzahirkan harapan agar lebih banyak kerusi diperuntukkan kepada calon wanita pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (DU) Sabah akan datang.

Menurutnya, penambahan jumlah calon wanita penting bagi memastikan suara dan perspektif golongan itu terus diwakili dalam pentadbiran negeri, seiring dengan peranan besar mereka dalam pembangunan masyarakat.

“Memang ada cadangan ke­rusi untuk wanita ditambah. Setakat ini, kita dengar sekitar 10 kerusi sedang dipertimbangkan. Harapan saya, biarlah jumlah itu benar-benar direalisasikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun turut mencadangkan agar 10 wanita dicalonkan mewakili gabungan itu pada pilihan raya kali ini sebagai langkah memperkukuh penyertaan wanita dalam arena politik negeri.

Seramai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wa­nita mewakili GRS sebelum pembubaran DUN Sabah iaitu Datuk Julita Majungki (Matunggong-PBS), Datuk Flovia Ng (Tulid-STAR), Datuk Norazlinah Arif (Kunak-Gagasan Rakyat) dan Rina (Kukusan-Parti Harapan Rakyat Sabah).

Dalam pada itu, Rina berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja menunjukkan komitmen GRS terhadap kesaksamaan gender tetapi juga pengiktirafan kepada keupayaan pemimpin wanita yang terbukti mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

Beliau yang juga penyandang kerusi Kukusan menjelaskan, pimpinan tertinggi GRS telah memberi jaminan bahawa semua kerusi penyandang wanita akan dikekalkan pada PRN akan datang.

“Kita sudah dapat ‘green light’ bahawa kerusi penyandang wanita akan dikekalkan. Jadi, kalau ada tambahan pula, itu satu perkembangan yang amat baik,” katanya.

Tambahnya, kehadiran lebih ramai wanita dalam politik akan memberi impak positif terhadap dasar kerajaan, terutama dalam isu-isu sosial, pendidikan dan kebajikan keluarga.

“Kita mahu ada keseimba­ngan. Bukan hanya dari segi ang­ka tetapi juga pandangan dan kepekaan terhadap keper­luan rakyat terutamanya wanita,” ujarnya.

Mengulas peluang untuk dicalonkan semula di Kukusan, Rina berkata, beliau menyerahkan keputusan tersebut kepada pimpinan tertinggi parti untuk menentukannya.

“Dari segi keyakinan memang ada. Kita lihat kepada prestasi, cara kerja dan maklum balas masyarakat. Cuma keputusan akhir tetap di tangan kepimpinan atasan,” ujarnya.
Rina turut menegaskan bahawa penambahan kerusi wanita bukan sekadar soal kuota politik, sebaliknya satu pengiktirafan terhadap kemampuan dan sumbangan pemimpin wanita.

“Wanita bukan sekadar pelengkap, tetapi sebahagian daripada kekuatan politik yang membina negeri ini,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×