JOHOR BAHRU: Siasatan awal polis mendapati suspek kes kanak-kanak lelaki yang cedera di leher dipercayai dikelar di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat berang apabila permainan dalam talian, Roblox miliknya kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul (point), selepas mangsa yang juga adik kepada suspek merosakkan telefon pintarnya.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dicederakan oleh abangnya sendiri yang berusia sembilan tahun akibat pengaruh permainan video dalam talian.
“Motif masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati abang mangsa berkemungkinan mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainkan terganggu dan semua point yang dikumpulnya hilang.
“Suspek dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam akibat pengaruh permainan itu dan seolah-olah diarahkan untuk mencederakan ahli keluarganya, sebelum bertindak menyerang adiknya sendiri menggunakan pisau yang terdapat di dalam rumah,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Hari ini, ibu bapa kepada kedua kanak-kanak itu direman dua hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman sehingga esok ke atas pasangan masing-masing berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A. Rahman.
Pasangan yang diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak dibawa masuk ke Mahkamah Majistret, Batu Pahat kira-kira pukul 8.15 pagi dan akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa yang berusia enam tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat kecederaan pada leher dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, laporan diterima pada pukul 9 pagi menyatakan kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi, ketika ibunya terbangun dari tidur sebelum mendapati mangsa cedera di bahagian leher dan dimaklumkan kepada suaminya.
Wanita itu mendakwa terdapat dua bilah pisau ditemukan terletak berhampiran bantal tempat tidur anaknya, selain pintu hadapan rumah mereka dalam keadaan terbuka sedikit.
Ab. Rahaman berkata, mangsa dan abangnya kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak polis tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan mereka seperti pesalah lain.
Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri bagi menentukan tindakan selanjutnya.
“Bagaimanapun, ibu dan bapa mereka ditahan kerana dipercayai mengetahui mengenai kejadian itu. Namun perkara ini masih dalam siasatan awal dan tumpuan kini diberikan kepada soal siasat ahli keluarga. – UTUSAN










