Jawatankuasa bebas siasat kes pemain warisan

Jawatankuasa bebas siasat kes pemain warisan

Tun Md Raus Sharif akan mengetuai jawatankuasa bebas menyiasat dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Badan induk itu dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa bebas yang ditubuhkan itu tidak akan membabitkan mana-mana individu daripada FAM bagi memastikan proses siasatan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan profesional.

“Tun Md Raus memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, di mana beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang bagi negeri Melaka dan Kelantan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

“Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996, kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan mencapai kemuncak kerjaya kehakimannya apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2017.

“Di peringkat antarabangsa pula, Tun Md Raus memegang peranan terbilang sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf,” kata FAM, semalam.

Menurut FAM, Tun Md Raus juga merupakan ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ) yang menyumbang kepada wacana dan kerjasama undang-undang serantau.

Berdasarkan kredibiliti dan pengalaman luas beliau, FAM berharap Tun Md Raus bersama-sama ahli jawatankuasa bebas tersebut yang akan dipilih oleh beliau sendiri akan dapat sama-sama menjalankan proses siasatan secara teliti dan menyeluruh sebelum membuat satu rumusan hasil siasatan itu nanti.

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram mengumumkan badan induk itu akan akan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menyiasat kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran sehingga dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pada awal bulan ini, FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.

Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×