CARA respons etnik Cina terhadap cadangan pengharaman hidangan arak dalam pesawat oleh syarikat penerbangan negara, bukan sahaja amat biadab, malah dajal sekali sifatnya. Ini kerana ia didapati langsung tidak menghormati etnik Melayu dan umat Islam di negara ini, khususnya tentang perasaan mereka.
Juga ia penuh dengan provokasi, bahkan amat menjengkelkan, sehingga telah membangkitkan kemarahan daripada pelbagai pihak, khususnya etnik Melayu-Islam. Ini kerana ia didapati memang sengaja dilakukan sedemikian rupa untuk menyakitkan hati mereka dan umat Islam di negara ini.
Sehubungan ini, respons sama ada oleh golongan pemimpin mahupun masyarakat umum etnik Cina untuk menolak cadangan itu, rata-ratanya berbentuk menganjing. Antaranya adalah mengeluarkan kata yang sinis untuk menyindir etnik Melayu dan umat Islam.
Ini dilakukan antaranya dengan bukan sahaja menyatakan cadangan itu bodoh selain kolot. Juga ditertawakan dengan penuh ejekan dan pelbagai bentuk lain yang seumpamanya.
Walaupun semua ini dilakukan oleh etnik Cina tertentu sahaja, tidak dapat dinafikan ia melumangkan seluruh etnik itu. Ini selari dengan filsafat sekurang-kurangnya dua peribahasa Melayu iaitu nila setitik rosak susu sebelanga dan seekor kerbau membawa lumpur semuanya habis terpalit.
Dengan ini, oleh sebab tindakan yang bukan sahaja salah, juga jahat walaupun segelintir sahaja, ia telah mencemarkan nama baik semua yang lain dalam etnik Cina. Justeru semuanya mendapat nama buruk.
Sebenarnya cadangan pengharaman itu berasas sekali. Ia terletak pada kebenarannya bahawa negara ini adalah bumi Melayu-Islam. Status ini bukan sahaja terang lagi bersuluh dalam Perlembagaan Persekutuan, juga dalam sejarah tanah air pada sepanjang zaman.
Sehubungan cadangan ini, arak bukan sahaja haram dalam Islam, juga adalah najis bagi umatnya. Dengan pengharaman ini, ia bermakna umat Islam harus menjauhi diri secara sarwa daripadanya. Ini termasuklah menjual untuk mendapatkan hasil daripadanya melalui perbuatan menghidangkannya dalam pesawat.
Sebagai najis seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, arak harus dijauhi dari segenap segi. Ini kerana ia kotoran yang menghalang sahnya solat dan pelbagai ibadah lain. Walaupun boleh disucikan mengikut penjenisannya, ia seboleh-bolehnya hendaklah dielakkan sekiranya dan apabila boleh.
Atas sebab inilah dicadangkan agar perbuatan haram memberi minuman arak kepada orang bukan Islam oleh mereka yang Islam, hendaklah bukan sahaja dielakkan, juga dihentikan.
Sesungguhnya ia ajaran Islam yang wajib dipatuhi. Dalam hal ini, ia dilakukan oleh sebilangan negara Islam. Dengan ini, arak tidak pun dihidangkan oleh syarikat penerbangan kebangsaan di negara tertentu itu.
Sehubungan ini, sistem penerbangan sedemikian didapati boleh terus mampan dan tidak pun menghadapi kemuflisan. Ia sama sekali tidak sebegitu seperti yang mahu dipercayai etnik Cina Malaysia.
Dalam hal ini, etnik Cina mencadangkan pihak Melayu-Islam tertentu yang membantah hidangan arak dalam penerbangan, memulakan penerbangan tanpa hidangan arak yang mereka sangat pasti akan lingkup dalam sekejap waktu sahaja.
Sebenarnya syarikat yang mengendalikan penerbangan tanpa hidangan minuman arak bukan sahaja didapati terus berkembang pesat. Juga sangat digemari kerana tambangnya yang jauh lebih murah. Ini kerana, mereka tidak pun mengenakan caj minuman arak secara borong kepada semua penumpang.
Cadangan agar ditubuhkan syarikat penerbangan patuh syariah yang pula didoakan akan muflis dalam tempoh sangat cepat, adalah dajal sekali. Ia bukan sahaja mahu secara sengaja menyinggung perasaan umat Islam, juga memang berniat mahu menghina agama Islam itu sendiri.
Sepatutnya etnik Cina setelah sekian lama tinggal di negara ini bukan sahaja sudah memahami aspirasi etnik Melayu-Islam dengan baik, khususnya dalam hal kerohanian untuk tidak mempertikainya. Juga ikut menegak syiar Islam bersama-sama dengan etnik Melayu selaku penduduk asal, kelompok majoriti lagi dominan di negara ini, dengan tidak membantah apa-apa yang Islamik dalam ranah kenegaraan.
Namun yang sebaliknya berlaku. Ia bukan sahaja sangat biadab kerana wujudnya kelakuan yang langsung tidak memperlihat apa-apa jua adab. Juga provokatif sekali sebab terus mengasa untuk membuat etnik Melayu-Islam berang.
Setelah sudah lama berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu, sepatutnya etnik Cina memberi respons kepada cadangan Islamik itu. Tambahan pula di bumi Melayu-Islam yang mereka huni ini. Dalam hal ini, ia hendaklah dilakukan dengan cara yang penuh dengan rasa hormat kepada tuan rumah.
Cara itu sesekali tidak boleh, malah tidak patut bersifat menganjing seperti yang telah dilakukan. Sehubungan ini, ajaran Islam yang mengharamkan arak dan menganggapnya sebagai najis bagi umat Islam, tidak boleh sama sekali dianggap sebagai amalan kolot, apatah lagi yang bodoh dalam apa-apa jua keadaan. Tambahan lagi dengan membuat perbandingan dengan ajaran pada sistem kepercayaan bukan Islam.
Natijahnya di sini ialah cara respons etnik Cina harus lebih bertanggungjawab daripada yang telah mereka lakukan dalam kes ini dan yang sebelum-belumnya. Ia harus bersifat positif dengan penuh penghormatan dan bukannya negatif yang sarat dengan penghinaan.
Sehubungan cara respons ini, ia boleh sahaja bersifat tidak mahu menerima cadangan itu dengan berhujah secara hemat lagi hemah. Ini penting sekali agar tidak sesekali menyentuh sensitiviti keagamaan Islam, lebih-lebih lagi kerana ia berupa agama Persekutuan yang moraliti negara ikut dikawalnya.
Sesungguhnya etnik Cina tidak boleh terus-terusan bersikap begini jika mahu selanjutnya diterima oleh etnik Melayu dan umat Islam, untuk ikut memimpin di bumi Melayu-Islam ini, bersama-sama dengan etnik Melayu dan umat Islam sebagai penerajunya.
Untuk ini, etnik Cina hendaklah menerima hakikat bahawa negara ini, ialah bumi Melayu-Islam. Ia bukan sesekali negara majmuk seperti yang mahu ditegakkan oleh mereka.
Dalam hal ini, kemajmukan itu adalah pola kependudukannya sahaja di bumi Melayu-Islam. Oleh itu, bukan sahaja mereka harus menyedari, malah menginsafi hakikat asas ini. Ini penting sekali untuk mereka mengetahui tempat mereka yang sebenar di negara ini, untuk tidak sesekali bertindak seperti kaduk naik junjung.
Dengan ini, etnik Cina tidak boleh sesekali bersifat sombong terhadap etnik Melayu setelah berjaya di bumi Melayu-Islam ini. Ini kerana kejayaan itu adalah ihsan daripada etnik Melayu yang mengizinkan mereka untuk boleh terus tinggal di negara ini.
Oleh itu, ada keperluan bagi etnik Cina bukan sahaja untuk mengenang jasa baik etnik Melayu. Juga untuk tidak sesekali mengkhianati mereka dengan resmi mengada-ada, yakni melakukan perkara yang bukan-bukan, selain berperangai melampau, iaitu melewati batas.
Etnik Cina sebaliknya digesa untuk menghayati filsafat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Ia bermaksud ada kemestian untuk mereka mematuhi peraturan sedia ada di tempat yang mereka sendiri pilih untuk diami.
Natijah penting lagi utama di sini ialah etnik Cina hendak selalu menyesuaikan diri dengan keadaan dan budaya di bumi Melayu-Islam yang mereka diami ini. Bukannya sama sekali terus lupa diri dan asal-usul mereka di bumi Melayu-Islam ini setelah meraih kedudukan baik di negara yang ada tuan miliknya.
Dengan kata lain, jadilah minoriti baik yang sedar diri. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor, Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










