MELAKA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memulas tangan ibunya hingga cedera serta mengugut mahu membunuh wanita itu selepas mangsa enggan meminjamkan kereta kepadanya, bulan lalu.
Tertuduh, U. Sarvin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, C. Chitra, 41, dengan memulas tangan kiri mangsa ke belakang. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sarvin didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengancam mahu membunuhnya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 5.45 petang, 12 September lalu di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Permai, daerah Melaka Tengah.
Siasatan mendapati sebelum kejadian, tertuduh pulang ke rumah dan meminta meminjam kereta Proton Saga FLX serta motosikal Modenas, namun ibunya enggan kerana anaknya itu sering mabuk dan menjual barang di rumah.
Pendakwaan dikendalikan Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib yang mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, sementara tertuduh merayu dikurangkan kerana tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Disember depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN










