IPOH: Sebuah syarikat kuari didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 10,129 liter minyak diesel tanpa permit dua tahun lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat GCCP Marble Sdn. Bhd., yang diwakili pengarahnya Loo Wooi Hong, 32, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah.
Dalam penghakimannya, Ainul turut memerintahkan wang hasil jualan sebanyak RM23,803.15 dilucut hak kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didapati melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki diesel tanpa kebenaran Pengawal Bekalan bagi tujuan perniagaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Keramat Pulai Industrial Park, Mukim Sungai Raya, daerah Kinta, pada pukul 6.30 petang, 15 Ogos 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Peraturan 21(1) peraturan sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya boleh didenda maksimum RM5 juta.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala syarikat diwakili oleh Tetuan Wong & Ang. – UTUSAN










