Pelan Tindakan 2026-2030 jadi panduan kerjasama ASEAN-Korea - Utusan Malaysia

Pelan Tindakan 2026-2030 jadi panduan kerjasama ASEAN-Korea

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan ASEAN-Korea 2026-2030 menyaksikan rantau Asia Tenggara dan Seoul bersedia tingkat kerjasama strategik yang akan menjadi landasan utama dalam menangani cabaran ekonomi global dan perubahan dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea ke-25 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berkata, hubungan antara ASEAN dan Seoul yang sudah terjalin lebih tiga dekad, kini berada pada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif berasaskan prinsip saling menghormati, kepercayaan dan manfaat bersama.

“Kita bertemu di tengah-tengah cabaran global yang semakin mendalam, seperti gangguan teknologi, persaingan strategik, dan perpecahan dalam rantaian bekalan.

“Semua ini memberi tekanan terhadap sistem perdagangan pelbagai hala, sekali gus mentakrifkan semula landskap ekonomi dunia.

“Dalam keadaan ini, ASEAN dan Korea yakin kemajuan hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat,” katanya.

Anwar berkata, pada 2024, perdagangan dua hala antara ASEAN dan Korea Selatan melebihi AS$200 bilion sekali gus mencerminkan kekuatan serta daya tahan hubungan ekonomi kedua-dua pihak.

“Di sebalik angka ini, ASEAN menawarkan peluang besar dalam pelbagai sektor, didorong oleh tenaga muda dan kepelbagaian lebih 600 juta penduduk, sementara Korea Selatan membawa inovasi dan teknologi yang terus memberi inspirasi global. Bersama, kita dapat memperkukuh daya tahan serantau dan menjana peluang baharu untuk semua,” jelas Anwar.

Pelan Tindakan ASEAN-Korea 2026-2030 akan menjadi petunjuk utama dalam merangka hala tuju kerjasama masa depan, namun kejayaannya amat bergantung kepada komitmen bersama untuk melaksanakannya secara berkesan.

“Dengan menggabungkan potensi pertumbuhan ASEAN yang pesat dengan kekuatan inovasi Korea, kita dapat mewujudkan ekosistem yang lebih inklusif, pasaran terbuka, dan rantaian bekalan yang stabil.

“Kita perlu memastikan modal insan kita bersedia menghadapi cabaran masa depan, mampu menjadi pemimpin membawa perubahan, usahawan, dan pembina kemakmuran bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×