KUALA LUMPUR: Korea Selatan melihat ASEAN bukan sekadar jiran serantau, tetapi sebagai jambatan masa depan strategik yang menghubungkan ekonomi, budaya serta kemanusiaan Asia Timur dan Asia Tenggara.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung berkata, hubungan kedua-dua pihak kini berkembang melebihi sempadan diplomasi tradisional, menjadi rangkaian dinamik yang digerakkan oleh hubungan rakyat dan saling kepercayaan yang semakin kukuh.
“Sepanjang lebih tiga dekad, hubungan rakyat antara Korea dan ASEAN berkembang menjadi jambatan kukuh yang menghubungkan masa depan kedua-dua rantau.
“Peningkatan pesat interaksi ini bukan sahaja memperlihatkan kedekatan budaya dan nilai kepercayaan bersama, malah menjadikan ASEAN destinasi pilihan utama bagi rakyat Korea dengan lebih 10 juta pelawat setiap tahun,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN–Korea ke-25 di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, angka itu menggambarkan daya tarikan ASEAN bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai pusat pertumbuhan, pendidikan dan peluang strategik yang semakin penting kepada Seoul.
Beliau berkata, percaya potensi ASEAN sebagai blok ekonomi yang pesat berkembang dengan populasi muda dan pasaran yang dinamik, akan menjadi tonggak baharu kestabilan dan kemakmuran serantau.
“ASEAN bukan sekadar jiran, tetapi rakan strategik yang berkongsi aspirasi sama dengan membina rantau yang aman, makmur dan berpusatkan rakyat. Korea melihat ASEAN sebagai sebahagian daripada masa depan kami,” katanya.
Jae-myung berkata, ASEAN turut muncul sebagai tiga destinasi utama pendidikan rakyat Korea, sementara lebih ramai pelajar dari ASEAN kini melanjutkan pelajaran ke Korea, sekali gus menyifatkan ia sebagai ‘aset bagi membentuk masa depan bersama dua rantau.’
“Pertukaran ilmu dan mobiliti pendidikan ini akan terus menjadi asas penting bagi membina hubungan yang lebih lestari dan saling memahami antara rakyat kita,” katanya.










