KUALA LUMPUR: NARQES Wellness, sebahagian daripada Kumpulan NARQES dan Pantai Hospital Cheras (PHC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengintegrasikan Pusat Penjagaan Berpantang NARQES ke dalam pakej bersalin PHC.
MoU itu menawarkan para ibu kesinambungan penjagaan perubatan dan kesejahteraan yang menyeluruh selepas melahirkan anak.
Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan NARQES, Datin Narqes Mohd. Raimi berkata, menerusi kerjasama itu, para ibu yang bersalin di PHC, sama ada melalui kelahiran normal atau pembedahan caesarean akan mendapat akses kepada perkhidmatan berpantang premium dengan keistimewaan eksklusif.
“Ini termasuk diskaun lima peratus, jemputan ke kelas antenatal, serta sesi pendidikan bulanan bersama pakar perubatan PHC di pusat berpantang tersebut.
“Perkongsian ini juga membolehkan promosi silang antara kedua-dua institusi, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan pengalaman pelanggan.
“PHC akan menawarkan kadar saringan kesihatan korporat kepada kakitangan NARQES, manakala NARQES akan memberikan akses pemasaran kepada PHC di pusatnya.
“Kerjasama ini menghubungkan penjagaan perubatan dengan kesejahteraan holistik, memastikan setiap ibu menikmati yang terbaik daripada kedua-dua dunia,” katanya kepada pemberita selepas majlis MoU itu.
MoU itu akan berkuat kuasa mulai 1 November 2025 hingga 31 Disember 2026.
Mengulas lanjut, beliau berkata, NARQES Wellness juga boleh menampung sekitar tujuh hingga lapan ibu di pusat penjagaan ibu berpantang ini pada satu-satu masa.
Menurutnya, untuk pusat penjagaan ibu berpantang, NARQES Wellness adalah cawangan pertama mereka.
“Tetapi sebelum ini, kami sudah aktif dalam industri perkhidmatan, termasuk pusat estetik dan mempunyai 25 cawangan estetik yang menawarkan rawatan seperti kegel treatment dan gyno tightening.
“NARQES Wellness memberi fokus sepenuhnya kepada pusat rawatan berpantang yang lengkap,” ujarnya.
Tambahnya, Kumpulan NARQES turut mempunyai kilang suplemen makanan di Sunway Subang, menghasilkan produk seperti milk booster dan manakan tambahan penghadaman untuk ibu berpantang.
“Jadi dari penjagaan badan hingga nutrisi, semuanya kami urus sendiri, 100 peratus tempatan dan dikawal kualitinya,” katanya. – UTUSAN










