KUNDASANG: Pusat penjaja moden Kundasang bernilai RM2.275 juta yang dijadualkan siap Jun 2026 bakal memberi manfaat kepada seramai orang usahawan tempatan di daerah itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, projek Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan UDA Holdings Berhad itu dibangunkan dengan kerjasama Majlis Daerah Ranau di tapak seluas 1.5 ekar.
“Apabila siap kelak, pusat penjaja itu dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk gerai jualan, tandas awam, medan selera, stor, surau untuk memberi keselesaan kepada penjaja dan pengunjung tempatan serta luar daerah.
“Pembinaan pusat itu bukan hanya projek fizikal, tetapi bukti tekad kerajaan memperkukuhkan ekonomi rakyat akar umbi terutama penjaja kecil, peniaga luar bandar dan usahawan mikro,” katanya pada majlis pecah tanah pusat projek itu di sini hari ini.
Beliau berkata, projek itu adalah kesinambungan konsep tamu desa yang diperkenalkan KUSKOP dengan penambahbaikan dari segi reka bentuk, kemudahan moden bercirikan identiti tempatan dan elemen kelestarian alam sekitar.
“Mengikut Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), UDA melalui program Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) diberikan mandat menyediakan infrastruktur keusahawanan dalam memperkukuhkan ekosistem usahawan mikro dan penjaja di seluruh negara,” katanya.
Ewon berterima kasih kepada Majlis Daerah Ranau kerana menyediakan tapak strategik serta memberi sokongan teknikal di peringkat daerah serta Bank Rakyat kerana menjadi rakan strategik melalui pelaksanaan Skim Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) dan Program Jajahan Bank Rakyat bagi membantu pembiayaan serta pendigitalan perniagaan. – UTUSAN










