YEMEN: Kumpulan Houthi pada Rabu menafikan dakwaan Arab Saudi salah satu dronnya cuba menyerang kota suci Makkah, mendakwa tuduhan itu sebagai propaganda yang direka.
Anggota biro politik Houthi, Hizam al-Asad menolak keras kenyataan Riyadh itu dengan menyifatkannya sebagai usaha memanipulasi pandangan awam yang kini tidak lagi memberi kesan.
“Dakwaan menyasarkan Mekah yang mulia adalah pembohongan yang sudah digunakan sebelum ini dan tidak lagi memperdayakan sesiapa,” katanya dalam hantaran di X.
Penafian itu dibuat selepas pakatan tentera diketuai Arab Saudi mengumumkan sistem pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dikesan menuju ke ruang udara Mekah.
Pakatan itu berkata, pesawat tanpa pemandu berkenaan ditembak jatuh sebelum sempat menceroboh ruang udara di sekitar kota suci itu.
Pakatan berkenaan menyifatkan kejadian itu sebagai provokasi yang disengajakan, menggambarkannya sebagai cubaan bermusuhan dan kali kedua serangan didakwa menyasarkan Mekah.
Menurutnya, serangan pertama berlaku menerusi pelancaran peluru berpandu balistik pada 27 Julai 2017.-AGENSI










