KUALA SELANGOR: Kira-kira 500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Yu Legenda, Sungai Yu di sini, terbiar lebih tiga tahun lalu walaupun kediaman tersebut sedia diduduki.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau kesal dengan situasi tersebut kerana rumah sudah pun diberikan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sejak tahun lalu.
Beliau yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, projek tersebut diasaskannya ketika menjawat jawatan itu bagi memberi kemudahan kepada warga tempatan golongan B40 memiliki kediaman.
“Saya amat kesal kediaman tersebut sebenarnya sedia diduduki dan pemaju sudah pun menyerahkan projek terbabit untuk didiami oleh pemohon. Tetapi sudah terlalu lama sehinggakan tempoh jaminan pemaju terhadap projek itu pun berakhir.
“Lebih baik menteri sekarang, Nga Kor Ming meletakkan jawatan kerana hendak menguruskan rumah yang sudah siap dan sedia diduduki pun gagal. Sampai sekarang rumah terbengkalai,” katanya ditemui ketika meninjau projek tersebut di sini, hari ini.
Noh menambah, ketika projek tersebut dilancarkan lebih 10 tahun lalu, beliau berhasrat supaya PPR Taman Yu Legenda itu ditawarkan kepada pemohon yang layak melalui skim sewa untuk beli (Rent-to-Own) berharga RM45,000.
“Bagaimanapun, sekarang tengoklah ibarat terbengkalai. Tempoh jaminan pemaju sudah tamat. Pastinya banyak baik pulih perlu dilakukan, pendawaian pun rosak, bumbung bocor.
“Pastinya kerajaan terpaksa menanggung kos baik pulih kerosakan tersebut. Akhirnya wang rakyat terbazir begitu sahaja,” tegas bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu.
Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Yu, Rasidan Tumin berkata, tindakan membiarkan kediaman tersebut tanpa penghuni dibimbangi akan mencetuskan pelbagai masalah lain.
“Penyerahan kepada pemohon perlu diselesaikan segera dan rumah itu sepatutnya perlu dihuni kerana semuanya sudah lengkap. Tetapi sehingga kini dibiarkan kosong kita risau menimbulkan masalah kepada orang kampung.
“Di kampung ini ada warga asing yang tinggal, akan datang kita risau ia menjadi penempatan haram bagi pendatang asing tanpa izin pula,” jelasnya. – UTUSAN










