Demokrasi AS makin merosot, dorong peningkatan pemimpin kuku besi dunia

Demokrasi AS makin merosot, dorong peningkatan pemimpin kuku besi dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM: Kemerosotan indikator demokrasi Amerika Syarikat (AS) ke tahap terendah dalam tempoh separuh abad dikesan menjadi pencetus serta pendorong kepada pemimpin kuku besi di seluruh dunia, dedah sebuah institut politik antarabangsa menerusi laporan terbaharu yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut laporan Institut Antarabangsa bagi Demokrasi dan Bantuan Pilihan Raya (IDEA) yang berpangkalan di Stockholm, petunjuk utama demokrasi AS daripada aspek kebebasan media hingga kebebasan badan kehakiman mencecah paras terendah dalam tempoh 50 tahun.

Institut berkenaan menegaskan tindakan Washington membelakangkan perintah antarabangsa berasaskan undang-undang menjejaskan kepercayaan terhadap sistem pelbagai hala, sekali gus memberi keberanian kepada pemimpin autoritarian serta populis di peringkat global.

Kajian IDEA mendapati kira-kira 57 peratus daripada negara yang dianalisis mengalami penurunan sekurang-kurangnya satu petunjuk kesihatan demokrasi antara tahun 2020 hingga 2025.

Antara aspek yang dinilai merangkumi kebebasan badan kehakiman, pilihan raya yang telus, kebebasan bersuara, serta akses kepada keadilan.

Setiausaha Agung IDEA, Kevin Casas-Zamora, menyifatkan perkembangan di AS sebagai pencetus utama kepada gelombang implikasi global.

Beliau menegaskan tindakan enggan mengakui kekalahan pilihan raya pada tahun 2020 serta peristiwa pencerobohan bangunan Kongres AS pada 6 Januari 2021 oleh penyokong Presiden, Donald Trump memberi legitimasi kepada serangan terhadap kredibiliti proses pilihan raya di negara lain.

Kesan daripada peristiwa tersebut turut menyaksikan insiden rusuhan di Brasilia pada 8 Januari 2023 apabila ribuan penyokong bekas Presiden, Jair Bolsonaro menyerbu parlimen Brazil.

Beliau turut menambah hujah yang digunakan untuk menamatkan peranan agensi bantuan luar AS (USAID) meniru pendekatan yang dipakai oleh kerajaan Serbia dalam mengekang aktiviti organisasi masyarakat sivil.

Ditubuhkan pada 1995 oleh 14 negara pengasas, IDEA kini mempunyai lebih 30 negara anggota untuk memantau amalan demokrasi global, manakala AS yang memegang status pemerhati sebelum ini dilaporkan menarik diri pada tahun ini. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×