Hina mahkamah: Shafie Apdal, Mona Din boleh dipenjara

Hina mahkamah: Shafie Apdal, Mona Din boleh dipenjara dan denda

INKUES ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pihak pendakwaan memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Presiden Parti Wari­san (Wari­san), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan aktivis, Mona Din yang boleh menyebabkan ke­dua-dua mereka dipenjara atau didenda.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permo­honan ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam mewakili Peguam Negara selaku pemohon.

“Selepas mendengar hujahan pemohon dan meneliti kertas-kertas kausa, mahkamah berpuas hati terdapat prima facie contempt (penghinaan mahkamah) dan permohonan kebenaran dibenarkan,” kata Koroner Amir Shah.

Sementara itu, Mohamad Mus­taffa ketika dihubungi mem­beritahu, kertas kausa akan di­se­rahkan kepada kedua-dua res­ponden, Mohd. Shafie dan Mona atau nama sebenar­nya, Che Muna Din dalam masa 14 hari.

“Pihak-pihak perlu memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh 14 hari selepas me­nerima kertas kausa tersebut. Selepas itu, mahkamah akan tetapkan tarikh untuk pende­ngaran permohonan komital inter parte (kedua-dua pihak),” katanya.

Menurut notis dan afidavit permohonan yang difailkan secara berasingan pada 16 Oktober lalu, Mohd. Shafie didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang menjurus kepada penghinaan mahkamah pada majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September 2025 yang kemudian dimuat naik ke Facebook miliknya.

Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Mohd. Shafie dalam majlis tersebut menjurus kepada suatu bentuk pengaruh yang tidak wajar kepada koroner yang sedang mengendalikan inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam menentukan sebab kematian serta membuat dapatan dan keputusan di akhir prosiding berkenaan.

Sementara itu, Mona pada 4 September 2025 didakwa telah menerbitkan kenyataan menghina mahkamah berkait prosi­ding sama yang diterbitkan di laman media sosial Facebook miliknya.

Dalam hantaran tersebut, Mona mempertikaikan ketera­ngan saksi iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr. Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama inkues.

Pendakwaan menyatakan, kenyataan yang dibuat oleh kedua-dua responden bertujuan mempengaruhi pendapat awam tentang integriti prosi­ding in­kues yang sedang berlangsung dan mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas pentadbiran keadilan.

Kenyataan-kenyataan itu ju­ga menjurus kepada gangguan dan merupakan campur ta­ngan dalam pentadbiran keadilan yang mana ia merupakan penghinaan mahkamah yang serius.

Pendakwaan memohon agar Mohd. Shafie dan Mona dikomitkan ke penjara atau didenda kerana menghina mahkamah dan perintah-pe­rintah lain yang difikirkan wajar dan berpatutan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×