Wanita Orang Asli perlu diberi peluang sama rata

Wanita Orang Asli perlu diberi peluang sama rata

BELANJAWAN 2026 sewajarnya menjadi titik permulaan kepada perubahan struktur yang memastikan wanita Orang Asli memiliki hak, peluang dan ruang untuk berdiri sama tinggi dalam pembangunan Malaysia moden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2026 membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa masyarakat Orang Asli di Malaysia apabila kerajaan mengumumkan memperuntukkan tambahan sebanyak RM412 juta kepada komuniti ini, tidak termasuk peruntukan di bawah bumiputera.

Peruntukan ini mencakupi peningkatan infrastruktur asas seperti jalan raya, kemudahan pendidikan, pemerkasaan Program Chup Badui Sikulah, peluang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui Kolej Komuniti serta pembinaan tabika baharu bagi kanak-kanak Orang Asli.

Di samping itu, kerajaan turut mengumumkan cadangan pindaan kepada Akta Orang Asli 1954 bagi memperkukuh hak tanah dan kebajikan masyarakat pribumi, satu langkah yang amat dinanti-nantikan komuniti ini sejak sekian lama.

Walaupun pelbagai fokus ditekankan melalui belanjawan ini, isu berkaitan pemerkasaan wanita Orang Asli juga perlu diberikan perhatian khusus, senada dengan yang dinyatakan dalam perenggan 142 Belanjawan 2026, iaitu ‘di bahu wanita terpikul masa depan bangsa’.

Wanita Orang Asli merupakan tulang belakang kepada ekonomi keluarga dan komuniti, namun mereka masih berdepan dengan pelbagai kekangan termasuk kekurangan akses kepada modal, kemahiran, dan jaringan pasaran.

Ramai antara mereka bergantung kepada aktiviti ekonomi kecil seperti kraftangan, pertanian tradisional dan perniagaan mikro yang terhad pasaran. Realiti ini menggambarkan perlunya dasar yang lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan wanita pribumi agar mereka tidak terus terpinggir daripada agenda kemajuan ekonomi negara.

Peranan wanita Orang Asli dalam pembangunan komuniti tidak boleh dilihat hanya dari sudut bantuan kebajikan semata-mata. Mereka harus diiktiraf sebagai ejen pembangunan yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi tempatan sekiranya diberikan ruang atau sokongan yang mencukupi.

Program latihan kemahiran, bimbingan keusahawanan, akses kepada pembiayaan mikro dan peluang dalam sektor ekonomi baharu seperti ekonomi digital mahupun pelancongan komuniti perlu diperluas kepada mereka. Keupayaan wanita pribumi untuk mengurus ekonomi keluarga dan komuniti membuktikan pelaburan dalam pembangunan mereka bukanlah beban tetapi pelaburan strategik untuk kemajuan negara.

Dalam konteks pembangunan mampan, pemerkasaan ekonomi wanita Orang Asli harus dilihat sebagai sebahagian daripada strategi besar negara untuk mengurangkan jurang pendapatan, membasmi kemiskinan dan memperkukuh perpaduan nasional.

Dasar ekonomi negara perlu mengambil kira suara dan realiti kehidupan wanita pribumi yang berdepan diskriminasi berlapis, bukan sahaja kerana jantina tetapi juga kerana faktor lokasi, budaya serta taraf ekonomi.

Pelaksanaan dasar yang berpaksikan keadilan sosial dan kesaksamaan gender akan memastikan wanita Orang Asli bukan sekadar penerima manfaat tetapi turut menjadi pemacu kepada pembangunan komuniti mereka sendiri.

Penglibatan aktif wanita pribumi dalam sektor strategik seperti pertanian moden, kraftangan berinovasi dan ekonomi digital boleh menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar yang lebih seimbang serta lestari.

Belanjawan 2026 sewajarnya menjadi titik permulaan kepada perubahan struktur yang memastikan wanita Orang Asli memiliki hak, peluang dan ruang untuk berdiri sama tinggi dalam pembangunan Malaysia moden.

Dalam arus kemajuan negara yang pesat, suara dan peranan wanita dari pinggiran harus terus diberi tempat dalam naratif kemajuan nasional kerana kemajuan sebenar hanya bermakna apabila ia dirasai oleh semua. –UTUSAN

PROFESOR MADYA WAN SALIHA YUSOFF AHMAD NIZAM CHE KASIM
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×