TRAGEDI kes rogol pelajar sekolah menengah yang berlaku di Melaka menggugat kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan dan mencetuskan persoalan besar mengenai nilai moral pelajar masa kini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap jenayah sebegini. Suspek dibuang sekolah serta akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di lokasi khas bawah pengawasan ketat.
KPM juga sedang menilai pelaksanaan kamera litar tertutup (CCTV) serta memperkukuh garis panduan keselamatan sekolah bagi mengelak insiden berulang.
Langkah ini mencerminkan kesedaran isu rogol bukan sekadar pelanggaran undang-undang tetapi petanda krisis nilai dan kelemahan pendidikan akhlak.
PUNCA KRISIS MORAL REMAJA
Kejahatan seksual remaja bukan muncul secara tiba-tiba. Kelemahan didikan agama, pendedahan terhadap kandungan lucah, pergaulan bebas tanpa batas dan pengaruh budaya hiburan menjadi penyebab utama.
Media sosial mempercepat penyebaran bahan berunsur lucah yang menormalisasi perilaku songsang dan melunturkan rasa malu (haya’).
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk”. (Surah al-Isra’: 32)
Ayat ini melarang sebarang jalan yang membawa kepada zina termasuk perlakuan rogol, gangguan seksual atau hubungan intim tanpa izin. Islam menegaskan kehormatan diri ialah amanah yang wajib dijaga.
Apabila nilai agama diabaikan, hawa nafsu menjadi raja dan maruah manusia terkorban. Remaja yang tidak dibimbing dengan ilmu dan iman mudah hanyut dalam arus hiburan, mencari kepuasan tanpa memahami dosa serta akibat.
TANGGUNGJAWAB PENDIDIK, PEMIMPIN SEKOLAH
Sekolah bukan sekadar tempat memindahkan ilmu akademik tetapi institusi yang membentuk jiwa dan moral insan. Guru berperanan sebagai murabbi yang mendidik dengan kasih, bukan hanya mengajar fakta.
Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menegaskan misi utama pendidikan Islam ialah pembinaan akhlak. Maka, sistem pendidikan perlu menekankan penghayatan nilai, bukan sekadar pencapaian akademik.
KPM wajar memperkukuh program pendidikan akhlak dan rohani di semua peringkat. Aktiviti pembinaan karakter, kaunseling Islamik dan modul kesedaran maruah perlu dijadikan agenda wajib dalam kurikulum sekolah menengah.
Setiap guru perlu diberi latihan mengenal pasti gejala awal salah laku seksual agar tindakan pencegahan dapat dilakukan segera.
KELUARGA SEBAGAI MADRASAH AWAL
Kerosakan akhlak pelajar sering berpunca daripada kelalaian institusi keluarga. Rumah tanpa bimbingan agama menjadi ladang subur bagi benih dosa. Ibu bapa perlu sedar kasih sayang bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal tetapi meliputi pemantauan moral dan rohani.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka”. (Surah at-Tahrim: 6)
Perintah ini menjelaskan kewajipan mendidik anak dengan ilmu, iman dan adab. Penggunaan telefon pintar dan internet perlu diawasi, bukan diserahkan sepenuhnya kepada kebebasan anak-anak.
Komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak tentang isu maruah, aurat dan adab pergaulan penting bagi membentuk kefahaman agama sejak usia awal.
PENDIDIKAN SEKSUAL ISLAMIK, PENCEGAHAN AWAL
Pendidikan seksual Islamik tidak bermaksud menggalakkan topik tabu, sebaliknya mendidik tentang tanggungjawab terhadap tubuh, batas aurat dan larangan syarak.
Nabi SAW mengajar anak-anak adab meminta izin sebelum masuk bilik ibu bapa pada waktu-waktu tertentu sebagaimana panduan dalam Surah al-Nur, ayat ke-58 yang menjadi bukti Islam mengiktiraf pendidikan seksual beradab sejak kecil.
Pelajar perlu difahamkan tubuh manusia ialah amanah Allah, bukan hak mutlak diri. Konsep iffah (kesucian) dan amanah jasmani mesti ditekankan agar remaja tahu menolak sebarang bentuk sentuhan tanpa izin dan melapor jika menjadi mangsa.
Sekolah perlu memperkenalkan modul khas pendidikan seksual Islamik yang menekankan nilai malu, hormat dan tanggungjawab moral. Modul ini tidak hanya sesuai untuk pelajar perempuan tetapi juga pelajar lelaki yang perlu diajar menghormati wanita dan memahami batas syarak.
KEADILAN, HUKUMAN MENURUT SYARIAH
Rogol ialah jenayah berat (jarimah kabirah) yang menghancurkan maruah insan dan kestabilan masyarakat. Islam menetapkan hukuman keras kepada pelaku sebagai bentuk perlindungan terhadap kehormatan manusia.
Firman Allah SWT bermaksud: “Perempuan dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebatan”. (Surah an-Nur: 2)
Walaupun hukuman hudud memerlukan syarat bukti ketat, pelaku rogol tetap boleh dihukum di bawah hukum ta‘zir melalui keputusan mahkamah.
Prinsip keadilan Islam bukan sekadar menghukum tetapi juga memulihkan maruah mangsa serta memastikan pencegahan berkesan agar masyarakat tidak kembali kepada kegelapan moral.
MASYARAKAT SEBAGAI PENJAGA AMANAH
Kegagalan membendung maksiat ialah tanggungjawab bersama. Masyarakat tidak boleh membisu terhadap jenayah rogol atau gangguan seksual yang berlaku di sekitar.
Firman Allah SWT bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” (Surah Ali ‘Imran: 110)
Amalan amar makruf nahi mungkar perlu dihidupkan semula dalam masyarakat moden dengan pendekatan berhikmah. Sikap tidak peduli terhadap kemungkaran hanya membuka ruang lebih luas kepada kejahatan berleluasa.
Demikianlah, tragedi rogol di sekolah ialah cerminan realiti pahit masyarakat sedang berdepan krisis nilai dan kelemahan sistem pendidikan rohani. Usaha membendung gejala ini memerlukan sinergi menyeluruh antara keluarga, sekolah, pihak berkuasa agama dan kerajaan.
Maruah bukan sekadar isu moral tetapi asas kemanusiaan yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa. Pemulihan masyarakat mesti bermula daripada pendidikan hati iaitu menanam iman, menegakkan adab dan menumbuhkan rasa malu.
Apabila iman menjadi dasar dan adab menjadi budaya, jenayah rogol tidak akan berakar di bumi ilmu. Sekolah akan kembali menjadi tempat subur untuk melahirkan insan berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap amanah Allah SWT.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
DR. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah Lulusan Doktor Falsafah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Lulusan Sarjana Muda Shariah Universiti al-Azhar Mesir.










