Kartel universiti ancam integriti pendidikan, jejas reputasi

Kartel universiti ancam integriti pendidikan, jejas reputasi

KERAJAAN perlu membuktikan komitmen memerangi ketidakadilan dan rasuah bukan hanya sekadar slogan tetapi dizahirkan melalui tindakan pencegahan yang nyata serta berkesan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kartel menjadi topik hangat di banyak negara, termasuk Malaysia.

Fenomena ini merujuk kolusi sistematik bagi mengawal keputusan, sumber serta kuasa demi kepentingan kumpulan tertentu, yang lazimnya dikaitkan dengan sektor ekonomi dan perniagaan.

Namun, ancaman sama turut menular ke institusi awam seperti universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT). Justeru kerajaan perlu memandang serius potensi serta risiko pembentukan kartel universiti sebelum ia mencetuskan krisis lebih besar.

Dalam konteks universiti, kartel merujuk kepada kumpulan berpengaruh yang bekerjasama secara tersusun untuk mengawal pelantikan, keputusan pentadbiran, peruntukan sumber dan kontrak, demi kepentingan sendiri sambil mengabaikan prinsip merit serta kepentingan awam.

Lebih membimbangkan, kartel pentadbiran berbeza daripada rasuah individu yang bersifat peribadi dan terasing. Kartel beroperasi secara tersusun dengan perancangan jangka panjang, pembahagian peranan, perlindungan bersama serta perkongsian faedah, menjadikannya jauh lebih berbahaya dan sukar dibongkar.

Pengalaman antarabangsa membuktikan walaupun universiti berprestij tinggi tidak terlepas daripada risiko kolusi. Contoh paling mengejutkan adalah kes 568 Cartel, melibatkan 17 universiti elit Amerika Syarikat (AS) termasuk Duke, Columbia, Yale, Brown dan Emory.

Pada 2024, 12 universiti membayar lebih AS$284 juta (RM1.33 bilion) untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah kerana berkolusi dalam menetapkan formula bantuan kewangan pelajar.

Malah, pada Oktober 2024, satu lagi tuntutan mahkamah difailkan terhadap 40 universiti atas dakwaan konspirasi penetapan yuran pengajian.

Sementara itu, di negara-negara lain, pola serupa turut dikesan. Di Afghanistan, universiti swasta menjadi sambungan rangkaian naungan politik, manakala di beberapa negara bekas Kesatuan Soviet, kerajaan sengaja membayar gaji akademik rendah untuk memaksa kakitangan terlibat dalam rasuah.
Di China pula, rasuah akademik yang berleluasa digambarkan sebagai ‘barah’ yang mengancam aspirasi negara.

Pengalaman ini menyampaikan satu mesej jelas, jika universiti terbaik dunia boleh terjebak dalam kolusi sistematik, universiti Malaysia juga berpotensi menghadapi ancaman yang sama.

PETANDA AWAL

Walaupun tiada bukti konkrit tentang kewujudan kartel tersusun di universiti Malaysia, beberapa petanda awal patut diberi perhatian serius. Data rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan antara 2017 hingga Ogos 2022, sebanyak 59 kakitangan universiti ditahan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, membabitkan jumlah RM1.32 juta.

Hampir kesemua mereka (49 orang) didakwa di mahkamah. Kes-kes ini, walaupun melibatkan rasuah individu, menunjukkan kewujudan kelemahan dalam sistem yang berpotensi dieksploitasi oleh rangkaian yang lebih terancang.

Lebih membimbangkan lagi, kes ‘kartel projek’ yang dibongkar menunjukkan betapa mudahnya sistem boleh dimanipulasi, satu sindiket berjaya mengawal 345 kontrak melalui 150 syarikat boneka sejak 2014. Oleh itu, jika pola ini boleh berlaku dalam perolehan kerajaan, potensi untuk perkembangan serupa dalam universiti awam tidak boleh dipandang ringan.

Analisis menunjukkan kelemahan tadbir urus universiti awam yang boleh mendorong pembentukan kartel pentadbiran. Proses pelantikan kurang telus, kriteria merit tidak jelas, panel pemilih tidak seimbang dan keputusan jarang dijelaskan, membuka ruang pelantikan berasaskan hubungan, bukan kelayakan.

Kedua, dalam aspek perolehan, had tinggi bagi tender terus memberi ruang manipulasi, ditambah pula dengan pemantauan bebas yang lemah dan maklumat terhad tentang penerima kontrak.

Ketiga, kawalan kewangan dan audit yang lemah, ditandai dengan kelewatan bertindak terhadap laporan Ketua Audit Negara dan ketiadaan sistem pendedah maklumat berkesan dengan perlindungan sebenar.

Tidak kurang pentingnya, budaya institusi yang tidak menyokong ketelusan turut meningkatkan potensi kartel. Hierarki yang terlalu kaku menghalang laporan penyelewengan, manakala budaya ‘jaga periuk nasi’ menakutkan bakal pemberi maklumat. Sistem ini menjadi lebih mudah dimanipulasi dan kurang bebas berfungsi secara telus apabila pelantikan mula dipengaruhi politik dan universiti awam pula bergantung kuat kepada kerajaan.

Jika potensi pembentukan kartel universiti tidak ditangani, risikonya boleh menjadi sangat serius. Dari segi kualiti pendidikan, merit akan terpinggir apabila pelantikan dibuat berdasarkan hubungan, menyebabkan akademik berkualiti meninggalkan sistem dan merosotkan standard pendidikan keseluruhan.

Dari aspek ekonomi, pembaziran wang rakyat melalui kontrak tidak telus akan berterusan, manakala ketirisan hasil negara yang patut digunakan untuk pembangunan pendidikan akan terus berlaku.

Selain itu, reputasi universiti Malaysia di mata dunia akan terjejas teruk. Institusi yang dicemari skandal tadbir urus akan sukar menarik kerjasama penyelidikan antarabangsa dan pelajar luar negara, ranking akan merosot selain kredibiliti sijil Malaysia boleh dipersoalkan oleh majikan global.

Lebih penting lagi, kredibiliti agenda antirasuah kerajaan akan tercalar jika masalah ini dibiarkan berlarutan. Kepercayaan rakyat terhadap reformasi akan terhakis dan pelaburan luar akan teragak-agak disebabkan kelemahan tadbir urus.

Di sinilah ujian sebenar kepada komitmen kerajaan. Prinsip Madani yang memperjuangkan keadilan dan memerangi rasuah bukan sekadar retorik sebaliknya mesti dilihat dilaksanakan di universiti yang merupakan institusi utama pembentukan modal insan negara.

Tindakan pencegahan segera perlu diambil termasuklah SPRM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjalankan audit khas tadbir urus menyeluruh semua universiti awam untuk mengenal pasti kelemahan kritikal; menubuhkan pasukan petugas pembaharuan yang melibatkan pakar bebas, akademik dan masyarakat sivil serta mewujudkan sistem pendedah maklumat yang kukuh dengan perlindungan sebenar untuk pemberi maklumat.

Dalam jangka sederhana, kerajaan perlu melaksanakan sistem pelantikan berasaskan merit yang telus dengan kriteria jelas, mendigitalkan sepenuhnya sistem perolehan dengan jejak audit lengkap dan mewajibkan latihan integriti menyeluruh untuk semua kakitangan.

Manakala dalam jangka panjang, pindaan perundangan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu dilakukan untuk mandatkan ketelusan dan akauntabiliti, di samping penubuhan Pesuruhjaya Integriti Universiti yang dilantik Parlimen untuk memantau dan melaporkan status integriti universiti awam.

Kartel universiti bukan lagi ancaman teori sebaliknya risiko nyata dengan potensi kewujudan yang tidak boleh dipandang ringan. Pengalaman global, data SPRM dan kelemahan sistemik semuanya menunjuk hakikat sistem tadbir urus universiti awam Malaysia mempunyai celah yang boleh dieksploitasi.

Kerajaan perlu membuktikan komitmen memerangi ketidakadilan dan rasuah bukan sekadar slogan tetapi tindakan konkrit yang dilaksanakan secara pencegahan.-UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis politik dan isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×