OKTOBER 2025 memberi sinar baharu buat rakyat Palestin apabila gencatan senjata diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada tanggal 10 haribulan.
Turut diraikan persetujuan untuk pertukaran tahanan, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza serta penempatan semula tentera ke arah pengunduran penuh dari bumi Palestin.
Namun begitu, kegembiraan rakyat Palestin meraikan gencatan senjata hanyalah bersifat sementara. Di samping berita duka syahidnya wartawan yang juga pempengaruh terkenal iaitu Saleh Aljafarawi, seramai 118 rakyat Palestin dibunuh dalam tempoh empat hari sahaja selepas gencatan senjata dicapai.
Bukan itu sahaja, tentera Israel tanpa sifat kemanusiaan membedil 11 orang yang sedang menaiki kenderaan untuk pulang ke kediaman mereka. Kononnya kenderaan tersebut melintasi ‘garisan kuning’ di antara penempatan haram tentera Israel dan rakyat Palestin.
Pada hakikatnya persempadanan tersebut masih samar dan tidak diumumkan secara rasmi. Tindakan Israel adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa sekali gus meletakkan tanggungjawab berat kepada masyarakat untuk bertindak apabila kepimpinan dunia dilihat gagal menghentikan kekejaman Israel.
Tidak dinafikan, sorotan imej-imej serta video-video ngeri lagi memilukan yang sentiasa bermain di media sosial meletakkan tekanan yang hebat buat Israel apabila masyarakat dunia kembali sedar tindakan genosid tersebut dirancang bagi menghapuskan rakyat Palestin bertujuan merampas tanah mereka demi pelbagai matlamat mencapai kepentingan negara Zionis itu.
Masyarakat dunia juga mula sedar tiada manusia layak diperlakukan sedemikian rupa tambahan pula ia melanggar undang-undang antarabangsa yang sering dibahaskan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kebangkitan rakyat mula bersuara serta bertindak menunjukkan protes khususnya apabila baru-baru ini beberapa siri Gerakan Sumud Flotilla bersama aktivis-aktivis seantero dunia bergerak membawa bantuan kemanusiaan seperti makanan, pakaian serta ubat-ubatan.
Meski pelbagai reaksi bercampur daripada masyarakat setempat terhadap usaha tersebut, yang turut melibatkan beberapa aktivis wanita dari Malaysia, namun misi itu dilihat sebagai tindakan yang berjaya meskipun belum sempat sampai ke Gaza setelah mereka ditahan dan diganggu perjalanannya oleh tentera Israel.
Misi tersebut turut dilihat membuka mata beberapa negara apabila Sepanyol, Itali serta Turkiye bertindak menghantar kapal perang bagi melindungi perjalanan awal Sumud Flotilla.
Tidak kurang juga sokongan masyarakat dunia yang turun di lapangan secara besar-besaran bagi membantah tindakan Israel yang memintas kapal-kapal bantuan kemanusiaan. Bukan itu sahaja, ribuan rakyat Itali termasuk kesatuan sekerja melaksanakan mogok apabila kapal misi kemanusiaan yang turut membawa rakyat mereka dipintas.
Antara mogok yang dilaksanakan termasuklah sekatan operasi pelabuhan, perkhidmatan kereta api dan lebuh raya yang menjejaskan kegiatan ekonomi beberapa negara. Perbuatan mogok turut dilaksanakan oleh negara-negara lain seperti London, Berlin, Barceloa, Madrid, Paris, Marseille dan Brussels.
Sebagai rakyat Malaysia, sokongan secara vokal dapat dilihat melalui gerakan antarabangsa seperti Boikot, Penjualan, Sekatan (BDS) yang diketuai Prof. Mohd. Nazari Ismail.
Beliau sentiasa lantang dalam menyeru rakyat Malaysia meneruskan memboikot terhadap syarikat-syarikat yang membantu Israel dalam melakukan genosid dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.
Namun begitu, pada masa rakyat Malaysia memfokuskan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin serta inisiatif misi kemanusiaan Sumud Flotilla, tindakan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya bekerjasama dengan satu jenama dikaitkan dengan Israel bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dilihat sebagai tindakan dangkal bagi kepentingan sesetengah pihak.
Fakta sehingga kini mencatatkan syarikat yang menaungi perniagaan makanan dan minuman itu mengalami kerugian bersih sebanyak RM291.9 juta pada tahun ini berbanding sebelumnya.
Ini membuktikan masyarakat lebih tegas dan lantang dalam membuat pilihan. Fakta lain yang tidak dapat dinafikan adalah isu boikot ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah dipratikkan secara global di serata dunia.
Jadi, bukankah tindakan kerjasama antara kementerian tersebut dan jenama berkenaan memberikan tanggapan negatif Malaysia di mata dunia khusus kepada mereka yang ingin melancong ke negara ini.
BERKESAN
Meski boikot merupakan pilihan individu, namun keberkesanannya tidak dapat dinafikan jelas memberi tekanan kepada Israel agar segera menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin.
Sejarah pada 1945 turut membuktikan keberkesanannya apabila ekonomi pasaran dan sumber serantau Israel terjejas teruk sehingga negara haram itu terpaksa menyuarakan bantahannya kepada PBB.
Selain itu, kesan ketara masa kini juga pada syarikat-syarikat gergasi yang mengalami penyusutan keuntungan mendadak akibat kebangkitan pengguna.
Kesimpulannya, usaha boikot yang dilihat kecil ternyata memberi impak serta tekanan kepada Israel manakan tidaknya, sesetengah cawangan terkemuka dilihat gulung tikar. Namun apa yang menariknya, ia dilihat sebagai peluang bagi peniaga tempatan untuk menjana pendapatan apabila masyarakat mula beralih arah mencari produk-produk alternatif.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal Undang-undang, merupakan Ketua Biro Undang-Undang, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










