Persiap dokumen hasil Sidang Kemuncak Asia Timur

Persiap dokumen hasil Sidang Kemuncak Asia Timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR) Ke-10 hari ini membincangkan usaha untuk persiapan dokumen hasil Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang akan berlangsung Isnin ini.

Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason berkata, mesyuarat tersebut merupakan sebahagian daripada proses penyelarasan antara negara anggota dan rakan dialog.

“Secara keseluruhan, mesyuarat ini membincangkan perkara berkaitan pecutan kerjasama ASEAN dengan beberapa rakan seperti Australia, Russia dan Amerika Syarikat (AS), selain persediaan bagi dokumen hasil EAS,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Sarah berkata, perbincangan masih berlangsung dan beberapa aspek kerjasama telah diselesaikan termasuk pelaksanaan Rancangan Kerja Inisiatif Integrasi ASEAN (IAI).

“Ini adalah proses berterusan yang melibatkan kerjasama rapat dengan rakan luar ASEAN. Hari ini, antara tumpuan adalah hubungan luar serta kemas kini perkembangan berkaitan dokumen hasil dengan New Zealand, Russia dan AS,” katanya.

Sarah berkata, mesyuarat CPR adalah rutin dalam kalendar tahunan ASEAN yang memainkan peranan penting bagi memastikan kesinambungan kerja-kerja diplomatik dan penyelarasan dasar di bawah kepengerusian Malaysia.

“Sebahagian daripada tugas normal CPR bagi memastikan semua dokumen dan kenyataan pemimpin dapat dimuktamadkan untuk diterima pakai semasa Sidang Kemuncak nanti,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dijadual berlangsung dengan menghimpunkan pemimpin tertinggi ASEAN bersama rakan dialog termasuk China, Jepun, Korea Selatan dan AS. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×