ISU jenayah yang berlaku di sekolah bukan sekadar berita sensasi. Ia menggugat asas kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan, tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak belajar, membina akhlak dan mengasah masa hadapan.
Apabila berlaku kejadian seperti rogol, buli atau keganasan di sekolah, persoalan utama bukan hanya siapa bersalah tetapi juga di mana silapnya sistem yang membenarkan perkara ini berulang.
Baru-baru ini, keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membenarkan pelajar yang dituduh dalam kes jenayah berat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menimbulkan pelbagai reaksi.
Ada yang memuji pendekatan berperikemanusiaan dan ada pula melihatnya sebagai keputusan berisiko yang menghantar isyarat salah kepada masyarakat.
Tidak dapat dinafikan, setiap pelajar mempunyai hak untuk belajar dan menduduki peperiksaan. Prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah adalah asas dalam undang-undang moden. Namun, prinsip ini perlu dipertimbang dengan kepentingan awam, keadilan kepada mangsa dan keperluan menjaga integriti institusi pendidikan.
Jika seorang penjawat awam yang dituduh di mahkamah boleh digantung tugas sementara menunggu keputusan, bukankah wajar prinsip yang sama diterapkan terhadap pelajar yang menghadapi pertuduhan jenayah berat? Penggantungan sementara bukan bentuk hukuman tetapi langkah berjaga-jaga untuk memastikan sistem kekal berintegriti dan adil kepada semua pihak.
Kita perlu berani mengakui kejadian jenayah di sekolah mungkin bukan kes terpencil tetapi tanda kepada masalah sistemik. Sistem pendidikan kini terlalu menumpukan pada pencapaian akademik, namun kurang memberi perhatian kepada pendidikan nilai, akhlak dan integriti.
Budaya buli, penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pelajar senior, sikap lepas tangan pentadbir dan kekurangan pemantauan disiplin adalah antara faktor yang membuka ruang kepada tragedi.
Ketika pelajar melihat pelanggaran disiplin kecil dibiarkan, mereka belajar kesalahan besar juga boleh diabaikan.
Tindakan membenarkan mereka menduduki peperiksaan di pusat khas dengan pengawasan polis mungkin jalan tengah yang lebih wajar. Ia tidak menafikan hak pendidikan, namun tetap menghormati sensitiviti mangsa dan keluarga. Dalam erti kata lain, ia menunjukkan keadilan dan empati boleh berjalan seiring.
Satu lagi kelemahan ketara yang sering dilihat dalam banyak isu berkaitan KPM ialah pengurusan komunikasi awam. Dalam dunia digital, kelewatan atau ketidakjelasan maklumat hanya menambah kemarahan rakyat. Jawapan seperti “isu ini dibincang dalam jawatankuasa” bukan lagi memadai. Masyarakat mahukan penjelasan jujur, tepat dan segera.
Kementerian harus faham keresahan ibu bapa, menghormati undang-undang dan pada masa yang sama berpegang pada nilai kemanusiaan. Ketelusan dalam komunikasi bukan tanda kelemahan tetapi tanggungjawab.
Sekolah bukan sekadar tempat menulis nota dan menjawab peperiksaan. Ia adalah institusi amanah yang membentuk manusia. Guru, pengetua dan pegawai KPM bukan hanya pelaksana dasar tetapi penjaga nilai.
Apabila berlaku kejadian jenayah di sekolah, seluruh sistem mesti bertindak, bukan sekadar menghukum pelaku tetapi menilai semula budaya dan persekitaran sekolah. Adakah pelajar dilatih untuk menghormati batas? Adakah guru diberi ruang melapor tanpa takut tekanan? Adakah sistem disiplin kita benar-benar mendidik atau sekadar menghukum?
Kita tidak boleh menormalisasikan kejahatan atas nama simpati atau prosedur. Keprihatinan tanpa prinsip akan merosakkan keadilan sementara keadilan tanpa empati pula akan membunuh kemanusiaan.
Dalam menegakkan prinsip kemanusiaan, kita tidak boleh membiarkan mangsa merasa keadilan tidak berpihak kepada mereka. Rasa percaya kepada sistem hanya boleh dipulihkan apabila mangsa dilihat dilindungi bukan dilupakan.
PERLU PEMBAHARUAN NILAI DAN TATAKELOLA
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan sudah tiba masanya KPM melaksanakan reformasi nilai dan tatakelola di sekolah. Ini termasuk:
• Dasar integriti pelajar dan guru yang lebih tegas, termasuk kod etika jelas dalam menangani kes jenayah.
• Prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis sekolah, termasuk komunikasi dengan ibu bapa dan media.
• Latihan integriti dan akhlak secara berkala kepada guru, kaunselor dan pelajar.
• Peranan pihak luar, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MCW, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan universiti untuk menjadi rakan strategik dalam membina budaya integriti di sekolah.
Setiap kali tragedi berlaku di sekolah, masyarakat menuding jari kepada individu. Namun hakikatnya, masalah sebenar ialah sistem yang longgar dan budaya yang permisif.
MCW menyeru agar KPM menilai semula pendekatan terhadap isu-isu disiplin dan jenayah pelajar dengan keseimbangan antara hak dan tanggungjawab.
Sekolah mesti kembali menjadi tempat paling selamat, bukan sahaja untuk belajar tetapi untuk membentuk manusia berprinsip, berakhlak dan berintegriti.
Kerana jika sekolah gagal melahirkan generasi beramanah, maka kita sedang menyiapkan masa hadapan akan diurus oleh mereka yang tidak tahu membezakan simpati dan integriti.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










