Apakah rasional yang bakal dipertaruhkan rakyat Sabah?

Apakah rasional yang bakal dipertaruhkan rakyat Sabah?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAH, Negeri di Bawah Bayu, tersergam megah dengan Gunung Kinabalu yang menjulang tinggi. Sekilas pandang sahaja sudah cukup untuk menampilkan keindahan dan keistimewaan negeri ini.

Keindahan itu diperkaya lagi dengan kesantunan bicara, kehalusan bahasa, serta kepelbagaian budaya dan kesenian masyarakatnya yang menarik.

Kesemua ini bertambah istimewa dengan kehadiran penduduk yang berbilang etnik dan agama, menjadikan Sabah sebuah negeri yang kaya dengan warisan dan keharmonian.

Rakyat Malaysia umumnya menyenangi suasana di Sabah dan ramai memilih untuk berkunjung ke negeri itu ketika bercuti atau berkelapangan. Mereka berharap Sabah terus kekal menarik dan istimewa sebagaimana adanya.

Keunikan yang tersendiri di Sabah diharapkan terus menjadi daya tarikan utama bagi para pelancong.

Sudah menjadi pengetahuan umum Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah akan diadakan pada 29 November ini. Seiring itu, ramai yang meletakkan harapan agar suasana politik tidak mengganggu kestabilan yang sedia wujud di Sabah, sebaliknya iklim politik kekal segar dan kondusif.

Harapan rakyat tempatan agar PRN ini tidak merubah rentak pembangunan negeri. Sabah perlu terus dipacu ke arah kemajuan, dengan segala sumber yang ada digembleng dan dipergiatkan bagi membina negeri yang lebih maju dan sejahtera.

Kata seorang sahabat dari Papar, Sabah yang merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia memang masih dahagakan pembangunan. Banyak pembangunan asas (prasarana) masih diperlukan seperti bekalan air bersih, elektrik dan rangkaian jalan raya. Justeru, parti politik yang paling berjaya menawarkan penyelesaian dalam hal ini tentu akan menjadi pilihan utama rakyat Sabah.

Berbual bersama rakan tempatan di Kota Kinabalu, banyak hal menarik disuarakan. Rata-rata mahu melihat Sabah maju progresif tanpa dilingkari unsur-unsur negatif yang tidak perlu. Umpamanya isu-isu yang berhubung dengan sentimen kenegerian, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau sengaja memperbesarkan slogan-slogan seperti ‘Sabah Untuk Orang Sabah’. Elok juga elak memainkan unsur-unsur sensivititi kaum.

Sebaliknya ramai menyuarakan mengenai sikap sentiasa terbuka dan menerima konteks perhubungan kerajaan negeri dan Persekutuan. Ia merupakan sesuatu yang perlu terus dipererat dan dimanfaatkan bersama.

Mereka yakin dengan kecaknaan yang berterusan Putrajaya terhadap keperluan kebajikan rakyat Sabah. Pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan saling bertali-arus ke Sabah untuk meninjau perkembangan pembangunan di negeri itu.

Lagi pun kata mereka, berada di Malaysia yang stabil makmur, tidak timbul soal diskriminasi atau membeza-bezakan peluang dan impian. Ini ketara dalam bidang pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) serta pengisian dalam perkhidmatan awam dan swasta.

Bagaimana pun, permintaan terhadap tawaran peluang pekerjaan baik di sektor awam dan industri dikatakan masih tinggi di Sabah.

Syukurlah, dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukan pembangunan di Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022.

Sarawak juga turut mendapat lonjakan peruntukan RM6 bilion yang diberikan Kerajaan Persekutuan.

Kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Kerajaan Madani bertekad memastikan kepesatan pembangunan di Sabah, Sarawak sebagai meraikan semangat MA63.

Semasa membentangkan peningkatan jumlah peruntukan untuk Sabah dalam Belajawan 2026, perkara-perkara mengenai keperluan kepada pembangunan asas di negeri itu turut diperincikan.

Ini meliputi projek-projek prasarana untuk kemudahan rakyat. Malah, Sabah dijangka akan mengalami lonjakan kemajuan dengan siapnya Projek Lebuhraya Trans Borneo dan jajaran jalan-jalan utama di negeri itu.

Turut diberi jaminan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Pembentangan Belanjawan 2026 itu termasuk termasuk aspek keselamatan di perairan Sabah.

Pendek kata, aspek ekonomi, sosial dan keselamatan tetap berada dalam komitmen Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran yang seiring turut dinikmati oleh rakyat Sabah.

REALITI

Jadi, ramai yang berpendapat, tidak wajar bagi mana-mana parti politik mempamer kecenderungan menggunakan unsur-unsur negatif untuk dijadikan modal meraih sokongan pengundi.

Berpijaklah pada kenyataan, bukan mencari jalan mudah (populis) dengan membuat andaian atau persepsi ‘kabur’, yang penghujungnya tidak memberi makna yang tepat dan menyenangkan. Yakinlah pada kejujuran, kerana kepalsuan hanya sekadar membina harapan, namun hasilnya tidak kesampaian.

Seperti lazimya, setiap datangnya pilihan raya, apa yang penting ialah pilihan bijak pengundi. Pemilihan ‘sebuah kerajaan yang baik’ terletak kepada pengundi di negeri itu. Mereka tentu bersandarkan rasional tersendiri. Lagi pun PRN Sabah kali ini merupakan kali yang ke-17.

Ertinya, rakyat negeri itu tentu banyak belajar dari pengalaman, dapat membandingkan dari aspek prestasi dan keupayaan serta dapat mengukur dari segi nilai janji mahupun tindakan.

Ramai pemerhati berpendapat, tiada mana-mana jenama parti politik yang bakal bertanding pada PRN kali ini boleh dianggap terlebih ‘unggul’ atau ‘pilihan utama’ di hati rakyat. Rata-rata dilihat berada pada kedudukan prestasi dan populariti yang seakan sama. Ini bermakna, peluang bagi parti-parti bertanding terbuka luas.

Apapun, jangan pandang mudah atau remeh pada mana-mana pilihan raya baik di peringkat negeri mahu pun Persekutuan. Setiap keputusan tetap ada impak atau kesan yang melebar. Misalnya, sedikit sebanyak keputusan PRN ini turut memberi ‘tempias’ terhadap warna politik semasa tanah air.

Lebih-lebih lagi, Malaysia kini memainkan peranan penting dalam ASEAN dan semakin lantang menyuarakan isu keselamatan serta keamanan sejagat tentu mengharapkan isyarat positif mengenai kedudukan politik yang kukuh dan stabil.

Pilihan raya bukan sekadar untuk meraih kemenangan, tetapi juga untuk memastikan rakyat dapat menumpang hidup dalam suasana sejahtera.-UTUSAN

 

DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×