LONDON: Rangkaian farmasi terkenal Britain, Boots, bakal melancarkan satu program khas membantu pesakit mengekalkan berat badan selepas berhenti menggunakan suntikan pelangsing bagi mengelakkan mereka kembali gemuk.
Ketika ini, dianggarkan 2.5 juta rakyat Britain menggunakan suntikan kurus seperti Mounjaro dan Ozempic yang semakin popular sebagai rawatan penurunan berat badan.
Namun, kajian menunjukkan mereka yang berhenti secara mendadak selepas mencapai sasaran sering mengalami kenaikan berat badan semula dan pertambahan itu biasanya datang dalam bentuk lemak, bukan otot.
Pada Ogos lalu, Institut Kebangsaan bagi Kesihatan dan Kecemerlangan Penjagaan (NICE) mengeluarkan garis panduan baharu yang menggesa pihak Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) memberikan sokongan berstruktur selama sekurang-kurangnya setahun kepada mereka yang berhenti rawatan suntikan.
Namun, majoriti pengguna membayar sendiri, menjadikan mereka tidak layak untuk menerima sokongan susulan
Sebagai tindak balas, Boots Online Doctor memperkenalkan program bimbingan selama 12 bulan yang pertama seumpamanya bagi membantu pesakit mengekalkan hasil penurunan berat badan selepas tamat rawatan.
Program ini ditawarkan secara percuma kepada pelanggan yang sudah menggunakan perkhidmatan penurunan berat badan Boots sekurang-kurangnya enam bulan.
Peserta akan menerima sokongan tanpa had daripada doktor melalui platform mesej selamat, selain akses kepada sumber digital peribadi seperti cadangan perubahan rutin harian, pola pemakanan dan tabiat membeli-belah.
Boots turut menyediakan webinar percuma dan episod audio siar yang menawarkan panduan serta motivasi kepada pesakit.
Dr Sam Wellappili daripada Boots Online Doctor Weight Loss Treatment Service berkata, tidak semua pengguna ubat pelangsing mahu menggunakannya sepanjang hayat, tetapi ramai yang risau berat mereka akan naik semula selepas berhenti.
“Kami tahu berhenti secara tiba-tiba tanpa sokongan menjadikan usaha mengekalkan berat badan lebih sukar.
“Program ini direka untuk memberikan panduan dan dorongan supaya pesakit mencapai kejayaan jangka panjang” katanya.










