BIHAR: Seorang lelaki berusia 74 tahun di India sanggup berpura-pura mati dan mengadakan upacara pengebumian palsu semata-mata untuk melihat siapa yang akan bersedih dengan ‘pemergiannya’.
Penduduk kampung Konchi di negeri Bihar, India, dikejutkan dengan berita kematian mengejut Mohan Lal, seorang veteran Tentera Udara India.
Ramai yang keliru apabila melihat perarakan jenazahnya, memandangkan tiada siapa pun tahu beliau sakit atau meninggal dunia. Namun begitu, penduduk kampung tetap menyertai upacara itu, meratapi pemergiannya dan melaksanakan semua adat tradisional seperti biasa.
Namun detik paling mengejutkan berlaku apabila Mohan tiba-tiba bangun dari kerandanya. Ketika itulah penduduk sedar majlis itu sebenarnya hanyalah ‘ujian’ aneh yang dirancang oleh Mohan sendiri untuk mengetahui sejauh mana orang sekeliling masih mengambil berat terhadapnya.
“Selepas mati, orang akan usung keranda kita, tapi saya mahu melihatnya dengan mata sendiri untuk tahu sejauh mana kasih sayang dan penghormatan yang orang berikan kepada saya,” katanya ketika ditanya tentang alasan di sebalik tindakan luar biasanya itu.
Mohan meminta beberapa saudara mara membantu menyebarkan berita ‘kematiannya’ dan memastikan perarakan ke krematorium kelihatan benar, lengkap dengan usungan berhias.
Ratusan penduduk hadir untuk memberi penghormatan terakhir, sesuatu yang amat menggembirakan Mohan dan meyakinkannya bahawa dirinya masih dihormati dalam komuniti.
Bagi menebus perasaan marah dan terkejut orang kampung selepas penipuan itu terbongkar, Mohan kemudiannya menganjurkan jamuan besar-besaran untuk semua penduduk sebagai tanda memohon maaf. -AGENSI










