LIPIS: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan melaksanakan operasi penguatkuasaan besar-besaran di seluruh negara minggu depan bagi memastikan semua majikan mematuhi pelaksanaan gaji minimum tanpa helah atau pengecualian.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, operasi itu bermula sejurus selesai sambutan Deepavali dan disertai pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Minggu depan kita turun seluruh negara. Kita semak KWSP, pembayaran gaji minimum dan Perkeso. Jika tidak mematuhi syarat, kita panggil ke pejabat. Jika tiada penyelesaian, tindakan saman melalui mahkamah diambil,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Makmur Kuala Lanar dan Pelancaran Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Penjom (Tempoyang) di sini, semalam.
Menurut Abdul Rahman, kadar gaji minimum baharu RM1,700 sebulan kini berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Ogos 2025 untuk semua majikan, tanpa pengecualian termasuk yang menggajikan kurang lima pekerja.
Sebelum itu, fasa pertama pelaksanaan telah bermula pada 1 Februari 2025 bagi majikan tertentu.
Abdul Rahman berkata, pemeriksaan sebelum ini mendapati masih ada majikan khususnya dalam sektor konsesi seperti keselamatan yang gagal laksana kadar minimum ditetapkan kerajaan.
Katanya, antara alasan yang sering diberikan adalah kontrak lama yang ditandatangani sebelum pelaksanaan kadar minimum baharu menyebabkan mereka mendakwa tidak mampu menaikkan gaji pekerja. – UTUSAN











