AICB lancar FSF Xcel, perkasa tenaga kerja sektor kewangan negara - Utusan Malaysia

AICB lancar FSF Xcel, perkasa tenaga kerja sektor kewangan negara

MAJLIS pelancaran FSF Xcel, platform penilaian kemahiran industri digital pertama Malaysia oleh Asian Institute of Chartered Bankers di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) melancarkan FSF Xcel, platform penilaian kemahiran industri digital pertama di Malaysia khusus untuk sektor kewangan, bagi memperkukuh keupayaan dan daya saing tenaga kerja tempatan.

Platform yang dibangunkan bersama Accendo Technologies, syarikat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) tempatan itu, merupakan kesinambungan kepada kejayaan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) yang diperkenalkan pada 2024.

Ketua Eksekutif AICB, Edward Ling berkata, FSF Xcel bukan sekadar platform penilaian kemahiran, sebaliknya pemangkin transformasi tenaga kerja kewangan ke arah budaya pembelajaran berterusan.

“FSF Xcel melengkapkan pekerja dan majikan dengan data berasaskan analisis bagi mengenal pasti, mengukur dan meningkatkan keupayaan mereka. Ia dibangunkan untuk industri, oleh industri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut AICB, FSF Xcel merangkumi 159 peranan pekerjaan dan 157 kemahiran kritikal, termasuk keupayaan teknikal dan tingkah laku, sekali gus membolehkan institusi kewangan mengenal pasti jurang kemahiran serta merangka strategi tenaga kerja masa depan.

Pengerusi MyMAHIR Future Skills Talent Council, Sektor Kewangan, Datuk Dr. Yvonne Chia pula berkata, hampir 40 peratus kemahiran dijangka berubah atau menjadi lapuk menjelang 2030, menjadikan FSF Xcel sebagai alat penting untuk institusi kewangan kekal relevan dan berpandangan jauh.

“FSF Xcel memperkasakan sektor kewangan Malaysia sebagai hab serantau bagi profesional yang mahir dan inovatif,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Accendo Technologies, Sharma Lachu menegaskan, pelancaran platform itu membuktikan kerjasama tempatan mampu menterjemah visi digital kepada tindakan nyata.

Pelancaran FSF Xcel turut disokong oleh Kajian Asas Tenaga Kerja 2025 AICB, yang merekodkan kadar maklum balas 68 peratus daripada 99 institusi kewangan tempatan. Kajian itu mendapati 96 peratus responden berminat menggunakan platform digital bagi menilai jurang kemahiran pekerja.

AICB menjelaskan, kira-kira 40,000 pekerja sektor kewangan dijangka terjejas akibat automasi, sekali gus menuntut peningkatan kemahiran bagi menyesuaikan diri dengan keperluan ekonomi digital.

FSF Xcel akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh institusi kewangan bermula suku keempat 2025, dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Accendo Technologies serta pertubuhan industri lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×