DI balai komuniti, kantin sekolah, atau ruang menunggu klinik, rakyat sering berbicara tentang kepimpinan, bukan dalam istilah politik besar tetapi realiti seharian.
Mereka berharap agar pemimpin benar-benar memahami apa yang dilalui rakyat. Harapan ringkas ini mencerminkan kerinduan terhadap menteri yang bukan sekadar berilmu tetapi berakar umbi dalam bidang yang mereka pimpin.
Hal ini paling ketara dalam portfolio seperti Pendidikan, Kesihatan dan Hal Ehwal Agama. Keputusan yang dibuat di kementerian ini memberi kesan langsung terhadap kehidupan rakyat, masa hadapan anak-anak, kesejahteraan keluarga dan kekuatan rohani masyarakat. Namun, pelantikan menteri kadangkala menimbulkan persoalan, bukan kerana siapa mereka tetapi kurang pengalaman bidang.
Jika seorang Menteri Pendidikan tidak pernah merasai cabaran bilik darjah, sukar baginya memahami denyut nadi sistem. Begitu juga, Menteri Kesihatan walaupun berlatar belakang perubatan, perlu lebih peka dengan isu kesihatan awam semasa. Bagi Menteri Hal Ehwal Agama pula, latar kukuh dalam pengajian Islam serta kefahaman realiti masyarakat majmuk amat penting untuk mengekalkan kepercayaan rakyat.
Ini tidak bermaksud hanya pakar bidang tertentu boleh dilantik tetapi pengalaman langsung menjadikan keputusan lebih empati, berpengetahuan dan diyakini. Menteri yang berpengalaman tahu soalan apa yang perlu ditanya, siapa yang perlu dirujuk dan lebih memahami cabaran rakyat. Sebaliknya, tanpa pengalaman, menteri mudah bergantung sepenuhnya pada penasihat atau agenda politik, sekali gus melebarkan jurang dasar dan realiti.
Cabaran lain ialah pertukaran menteri yang terlalu kerap. Setiap menteri membawa slogan dan agenda baharu, sedangkan dasar jangka panjang memerlukan konsistensi. Dalam pendidikan, misalnya, reformasi kurikulum mengambil masa bertahun-tahun untuk membuahkan hasil tetapi sering terganggu oleh pertukaran kepimpinan. Guru letih, murid keliru dan dasar tidak sempat berakar. Hal yang sama berlaku dalam kesihatan, di mana kesinambungan dasar amat kritikal.
Selain itu, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan turut memegang peranan penting yang saling bergantung antara satu sama lain.
Malaysia pernah menyaksikan teknokrat dihormati dalam kepimpinan. Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, membawa pendekatan inklusif sebagai Menteri Hal Ehwal Agama. Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pula menjadi figura dipercayai seluruh negara semasa pandemik Covid-19 kerana integriti profesional dan komunikasi jelas.
Kedua-dua tokoh ini bukan ahli politik, namun membuktikan teknokrat boleh memimpin apabila diberi peluang, bahkan boleh dilantik sebagai senator jika perlu. Soalnya bukan soal parti kepercayaan rakyat.
Sering kali jawatan menteri diberikan hanya kerana kemenangan politik. Namun, menang pilihan raya tidak bermakna seseorang itu automatik layak mengetuai portfolio kritikal. Apa yang diperlukan ialah pengetahuan, pengalaman dan empati.
Apabila menteri dipilih berdasarkan kesesuaian bidang, Kabinet tidak lagi dilihat sekadar kumpulan wakil politik tetapi barisan pemimpin bersedia mentadbir. Tambahan pula, rakyat hari ini semakin celik, menilai prestasi melalui tindakan, bukan sekadar ucapan. Media sosial menjadikan maklum balas segera dan terbuka. Maka, pelantikan menteri tidak boleh dipandang ringan.
Beberapa negara Eropah dan Asia Timur menetapkan Menteri Pendidikan harus berlatar akademik, manakala Singapura menekankan meritokrasi dalam pemilihan Kabinet. Prinsip ini boleh disesuaikan di Malaysia.
Kepimpinan ialah amanah, bukan ganjaran. Melantik menteri yang benar-benar sejiwa dengan kementerian melalui pengalaman, penglibatan atau kepakaran akan membina dasar lebih berkesan, menumbuhkan kepercayaan rakyat dan menjadikan kerajaan lebih stabil serta dihormati. Akhirnya, kepimpinan yang mendengar adalah kepimpinan yang akan terus relevan dan dihormati. – UTUSAN
SAMIHA MOHD SALLEH
Kota Tinggi, Johor










