Keluarga diusir tanpa pampasan tuntut campur tangan kerajaan

Tiga keluarga diusir tanpa pampasan tuntut campur tangan kerajaan negeri

AJAMER Muhammad Abdul Jalil (kiri), Shaari (tengah) dan Zalkefile (tengah) menunjukkan surat notis dan plot geran TOL ketika ditemui di Parit 30 Jalan Pantai Kuala Kurau, Perak. – Utusan/Wat Kamal Abas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Tiga buah keluarga di Parit 30, Jalan Pantai Kuala Kurau di sini merayu campur tangan kerajaan negeri selepas mendakwa teraniaya apabila diarahkan mengosongkan rumah masing-masing tanpa sebarang pampasan atau penempatan ganti.

Penduduk mendakwa mereka bukan penceroboh, sebaliknya mempunyai Lesen Menduduki Sementara (TOL) yang diperbaharui secara sah dan pernah diarahkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian untuk memohon geran hak milik pada tahun lalu.

Seorang penduduk, Shaari Alias, 56, berkata dia menetap di kawasan itu sejak 2019 selepas permohonannya mendirikan rumah diluluskan pada 2015 dan lesen TOL diperbaharui tiga kali.

“Kami isi borang, bayar sukat tanah dan buat rayuan seperti diarahkan. Tetapi tiada maklum balas sehingga tiba-tiba diberitahu tanah ini terlibat projek tembok ban penahan ombak” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pertengahan tahun ini mereka menerima notis merah yang mengarahkan mereka keluar atas alasan menceroboh tanah kerajaan.

“Kami bukan penceroboh. Kami patuh semua prosedur. Tetapi apabila diarah keluar tanpa pampasan atau tapak ganti, kami rasa diperlakukan seperti pendatang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zalkefile Hasim, 65, yang tinggal di situ sejak 2001 berkata, tindakan pengusiran tanpa sebarang pampasan amat mengejutkan.

“Kami tidak menentang pembangunan, tetapi apabila diusir tanpa ganti, ke mana kami hendak pergi pada usia ini?,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan jajaran projek yang didakwa seolah-olah mengelak kawasan kolam udang berhampiran rumahnya sedangkan jarak laut dan kediaman mereka hampir satu kilometer.

Sementara itu, Ajamer Muhammad Abdul Jalil, 61, berkata, lima plot diarahkan dikosongkan namun hanya dua plot tanpa binaan diberi pampasan RM3,000 oleh kontraktor.

“Apabila tanya kontraktor, disuruh rujuk PDT, tanya PDT, disuruh tanya JPS. Kami benar-benar buntu,” katanya.

Ketiga-tiga keluarga itu kini berharap campur tangan Menteri Besar Perak agar menilai semula keputusan tersebut dan mempertimbangkan pampasan atau penempatan ganti yang adil.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×