KUALA NERUS: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 buah sekolah berisiko tinggi di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya menjelang bulan depan.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, langkah itu adalah fasa permulaan pelaksanaan pemasangan CCTV bagi memperkukuh aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah dan asrama.
Katanya, kerja pemasangan bermula sejak Ogos lalu dengan peruntukan sebanyak RM3 juta yang diumumkan oleh Kerajaan Madani.
“Kita telah kenal pasti sekurang-kurangnya 200 sekolah yang mempunyai risiko tinggi melibatkan kejadian seperti buli dan salah laku pelajar. Kerja pemasangan sedang berjalan dan dijangka siap sepenuhnya sebelum penutupan akaun kerajaan pada awal Disember ini,” katanya selepas Majlis Persaraan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2025 di sini, semalam.
Wan Hashim berkata, pelaksanaan itu bukan sahaja membantu meningkatkan pemantauan keselamatan di sekolah tetapi memudahkan siasatan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau berkata, lokasi dan bilangan kamera di setiap sekolah ditentukan mengikut keperluan serta nasihat daripada Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak pelanggaran aspek privasi.
“Kita tidak boleh pasang secara sembarangan kerana ada isu privasi membabitkan pelajar dan guru. Oleh itu, pemilihan lokasi pemasangan dibuat dengan teliti bagi memastikan CCTV memberi impak positif kepada keselamatan. Mungkin ada yang lapan unit kamera atau mungkin ada yang 10 unit,” katanya.
Menurutnya, KPM turut bercadang memperluas pemasangan CCTV ke lebih banyak sekolah pada masa depan sekiranya pelaksanaan fasa pertama itu menunjukkan hasil yang positif. – UTUSAN










