Media sosial ancam perpaduan negara

Media sosial ancam perpaduan negara

SARASWATHY Kandasami
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Media sosial menjadi ancaman utama memperkukuh integrasi sosial rakyat negara ini apabila disalahgunakan atau tidak dikawal secara efektif.

Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Saraswathy Kandasami berkata, pihak kementerian telah mengenal pasti 10 defisit sosial utama yang menjadi penghalang kepada perpaduan, termasuk pengaruh negatif media sosial yang menjadi cabaran dalam memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Antara isu-isu utama yang dikenal pasti di bawah defisit media sosial adalah penyalahgunaan dan kurang kawalan maklumat.

“Ramai pengguna terdedah kepada maklumat yang tidak disahkan, seterusnya menyumbang kepada salah faham dan persepsi negatif terhadap sesuatu kaum atau agama.

“Penyebaran berita palsu. Kandungan palsu yang tersebar dengan pantas berpotensi mencetuskan ketegangan dan konflik dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Ujaran kebencian dan provokasi. Media sosial sering dijadikan platform untuk menyebar kenyataan berbaur kebencian yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum dan agama.

“Ketidakpuasan terhadap isu sosial. Komentar dan diskusi negatif terhadap isu sosial dalam media sosial menyumbang kepada polarisasi dan jurang persefahaman antara komuniti,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai strategi kementerian mengurus perbezaan apabila naratif perpecahan dan retorik kebencian dalam media sosial kian meningkat.

Walaupun Kementerian Perpaduan tidak memiliki kuasa penguatkuasaan, beliau berkata, pemantauan terhadap penyebaran isu-isu sensitif berkaitan agama, raja dan kaum (3R) adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagi tempoh antara tahun 2023 hingga Julai 2025, katanya, SKMM mengenal pasti dan melaporkan 11,967 kandungan berunsur 3R. Daripada jumlah itu, katanya, 7,673 kandungan telah berjaya diturunkan oleh pihak penyedia platform sosial.

“Langkah ini menunjukkan usaha berterusan pihak berkuasa dalam membendung penyebaran kandungan berunsur kebencian yang boleh menjejaskan perpaduan nasional.

“Pihak kementerian walaupun tanpa kuasa penguatkuasaan, tetap memainkan peranan penting melalui pendekatan reformasi sosial seperti intervensi komuniti dalam menangani isu-isu sensitif, mediasi antara kumpulan yang terlibat dalam ketegangan sosial dan peningkatan kesedaran rakyat tentang bahaya ujaran kebencian dan berita palsu,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×