KUALA LUMPUR: Pelancong-pelancong Eropah datang ke nagara ini bukan hendak minum arak, sebaliknya ingin melihat budaya Malaysia, jelas Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sehubungan itu kata beliau, maruah negara perlu sentiasa dipelihara dengan memastikan segala aktiviti yang dijalankan termasuk dalam sektor pelancongan.
Beliau yang juga Presiden Pas berkata, setiap perkara yang dilakukan tidak boleh mencemari nilai budaya dan agama selain menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Islam menghormati hak orang bukan Islam. Kita tak boleh larang orang bukan Islam makan babi, arak dan sebagainya. Hak dia tak boleh diganggu, tetapi maruah negara hendaklah dipelihara.
“Jangan kegiatan negara, pelancongan dan sebagainya kita masukkan arak. Pelancong-pelancong Eropah datang bukan nak minum arak, di negeri dia banyak arak lagi.
“Dia datang nak lihat budaya kita, nak lihat perangai kita, akhlak kita ini penting,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026, di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mencadangkan agar negara-negara Islam termasuk Malaysia kembali menggunakan matawang dinar dalam urus niaga, sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS).
Katanya, cadangan ini pernah diusahakan oleh beberapa tokoh termasuk Tun Mahathir Mohamad, sekali gus ia wajar dihidupkan semula sebagai simbol kekuatan ekonomi umat Islam.
“Ini patut kita lakukan dan kita hidupkan semula. Kita harap kerajaan hidupkan keadaan ini semula.Tetapi malangnya kita nak mengaji dengan Amerika, tak mengaji dengan kita sendiri. Ini jadi masalah,” katanya. – UTUSAN










