Kastam Johor rampas minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM2.5 juta

Kastam Johor rampas minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM2.5 juta

PENGARAH Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi (kanan) menunjukan rampasan minuman keras dalam Operasi Khas OPS TERMA pada sidang media di Menara Kastam Johor Bahru di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hasrat sindiket membuat keuntungan sempena Tahun Baharu Cina lalu dengan menjual arak tanpa cukai gagal apabila stok minuman keras bernilai RM2,570,800 disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, bulan lalu.

Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra) membuat serbuan pada pukul 11 malam, 20 Januari lalu susulan maklumat diterima.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun gagal membuat sebarang tangkapan susulan tiada individu ketika serbuan dijalankan.

“Pemeriksaan dibuat terhadap lima kontena menyimpan pelbagai jenis arak dipercayai dibawa masuk dari China tanpa duti import.

“Penguatkuasa menemukan 572,928 tin minuman keras bersamaan 286,464 liter dengan nilai sitaan RM2,570,800, manakala cukai terlibat bernilai RM12,276,339 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM14,902,139,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor di sini hari ini.

Tambah Aminul Izmeer, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita sebuah lori jenis Isuzu Hino beserta kelima-lima kontena terlibat bernilai RM55,000.

“Modus operandi digunakan sindiket ini adalah mengimport arak dari luar negara menggunakan kontena dan disimpan di dalam gudang sebelum dijual di pasaran sekitar negeri ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN