Jumlah pelajar terima pendidikan percuma ikut pengambilan tahunan IPTA

Jumlah pelajar terima pendidikan percuma ikut pengambilan tahunan IPTA

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah pelajar yang akan menerima faedah pendidikan percuma seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026 akan ditentukan mengikut proses pengambilan tahunan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, angka sebenar penerima akan berbeza setiap tahun bergantung kepada kapasiti universiti serta peruntukan tahunan yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir daripada melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Senarai ini bergantung kepada pengambilan setiap tahun, berapa ramai. Seperti yang diumumkan, kita mungkin ada lebih daripada 5,800 tetapi bilangan itu mungkin akan berbeza-beza menurut keadaan dan proses pengambilan tahun-tahun tertentu.

“Kita tidak mahu kesusahan dan kemiskinan itu menyebabkan mereka yang pandai, yang bijak daripada keluarga miskin tidak dapat meneruskan pendidikan mereka,” katanya ketika ditemui selepas Dialog Polisi Pendidikan Tinggi Kesatuan Eropah (EU)-ASEAN, di sini.

Zambry berkata, langkah itu juga selaras dengan komitmen kerajaan Madani yang mahu memberi peluang saksama kepada pelajar berpotensi untuk melanjutkan pengajian tanpa beban kewangan.

“Bajet (Belanjawan) Madani ini memberi peluang besar kepada anak-anak yang pintar untuk belajar dan masuk ke universiti tanpa halangan kewangan. Kita harapkan lebih ramai yang layak dapat menikmati kemudahan ini,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2026 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan pemberian pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA, dengan peruntukan RM120 juta setahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×