SAUDARA PENGARANG,
RAMAI ibu bapa masih salah faham mengenai konsep pembelajaran percuma di sekolah. Walaupun tiada yuran dikenakan dan kerajaan menyediakan geran tetapi wang tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan sekolah.
Bagi memberi pemahaman kepada ibu bapa tentang peruntukan dan perbelanjaan sepanjang tahun, disyorkan agar pihak sekolah membentangkan peruntukan yang diterima serta perbelanjaan sepanjang tahun semasa mesyuarat agung PIBG. Pihak sekolah dan PIBG juga boleh menggalakkan ibu bapa untuk menjadi sukarelawan dalam pelbagai aktiviti sekolah. Penglibatan langsung ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban kewangan tetapi juga meningkatkan hubungan antara sekolah dan komuniti serta menguatkan semangat kekitaan.
Alumni sekolah juga boleh memberikan sumbangan dalam bentuk wang, peralatan atau kepakaran mereka. Dengan melibatkan alumni, sekolah dapat memanfaatkan jaringan dan sumber yang lebih luas untuk memenuhi keperluan mereka.
Syarikat dan agensi kerajaan boleh menjadi rakan kerjasama strategik dalam menyokong pendidikan. Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan inisiatif kerajaan boleh diselaraskan dengan keperluan sekolah untuk memastikan keberkesanan dan impak yang lebih besar.
Dengan kerjasama daripada semua pihak, kekurangan dana di sekolah dapat diatasi dan pelajar dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna serta berkesan. – UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










