Pelajar miskin tegar perlu sokongan menyeluruh

Pelajar miskin tegar perlu sokongan menyeluruh

INISIATIF pendidikan percuma ini perlu dilaksanakan secara telus, adil dan menyeluruh agar tiada pelajar tercicir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INISIATIF kerajaan menyediakan pendidikan percuma dan biasiswa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar merupakan satu langkah progresif.

Peningkatan jumlah penerima bantuan daripada 5,800 kepada 10,000 pelajar menunjukkan komitmen serius kerajaan dalam memperkukuh mobiliti sosial melalui pendidikan tinggi.

Mekanisme pengecualian bayaran balik PTPTN bagi graduan ijazah kelas pertama boleh dianggap sebagai satu bentuk kontrak sosial akademik yang mampu memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian.

Gabungan bantuan awal melalui sistem e-Kasih dan pengecualian pinjaman PTPTN juga berupaya mewujudkan ekosistem meritokrasi yang lebih adil kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Namun, beberapa isu seperti ketidaksamarataan syarat kelas pertama antara universiti boleh menjejaskan keadilan kepada pelajar universiti penyelidikan (RU).

Di sesetengah universiti, CGPA 3.50 sudah melayakkan pelajar memperoleh kelas pertama, manakala di beberapa universiti lain, pelajar perlu mencapai CGPA 3.75.

Justeru, kerajaan disaran menyelaraskan semula kriteria tersebut supaya sistem bantuan benar-benar berasaskan merit dan tidak menghukum pelajar berdasarkan perbezaan standard institusi pengajian.

Kerajaan juga perlu mempertimbangkan beberapa bentuk bantuan tambahan seperti pemberian Elaun Sara Hidup (ESH) secara bulanan, jaminan penginapan percuma di kolej kediaman, bantuan laptop dan internet serta pengukuhan inisiatif food bank di universiti.

Isu kelewatan pengemaskinian data e-Kasih juga perlu diberi perhatian serius. Integrasi data antara e-Kasih, Kementerian Pendidikan Tinggi, universiti dan PTPTN perlu diwujudkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara automatik tanpa birokrasi yang membebankan pelajar.

Universiti juga perlu memperkenalkan mekanisme khas untuk membantu golongan “hampir miskin tegar” yang tidak tersenarai dalam e-Kasih tetapi berdepan tekanan kewangan serius.

Golongan ini pendapatan isi rumah mereka melepasi garis kemiskinan secara teknikal, namun masih menanggung beban keluarga yang besar.

Universiti disaran mewujudkan panel khas dan sistem semakan berkala supaya bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan lebih pantas kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.

Majlis Perwakilan Pelajar, pihak universiti dan alumni juga perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkukuh sokongan akademik dan kebajikan kepada pelajar miskin tegar.

Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk program mentor-mentee, kumpulan belajar yang dipantau pelajar senior, skim pinjaman peranti sementara serta saluran aduan khas berkaitan isu PTPTN dan e-Kasih.

Kerajaan juga perlu membuka laluan khas latihan industri dan peluang pekerjaan kepada penerima bantuan melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Matlamat sebenar pendidikan percuma bukan sekadar memastikan graduan tamat belajar tanpa hutang, tetapi membantu mereka memperoleh pekerjaan stabil dan mampu mengubah taraf hidup keluarga secara berkekalan.

Diharapkan inisiatif pendidikan percuma ini dapat dilaksanakan secara telus, adil dan menyeluruh agar tiada pelajar tercicir hanya kerana faktor kemiskinan atau kekangan birokrasi.

Pendidikan merupakan hak setiap rakyat dan masa depan negara bergantung kepada sejauh mana peluang tersebut dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat. – UTUSAN

CHE WAN MUHAMMAD AZIEMUDDIN C.W. KAMAL
Naib Yang Dipertua 3
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Putra Malaysia Sesi 2025/2026

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN