Basmi miskin tegar perlu lebih dari bantuan tunai

Basmi miskin tegar perlu lebih dari bantuan tunai

MEMBASMI kemiskinan bukan sekadar projek ekonomi, tetapi usaha kemanusiaan yang memerlukan empati, perancangan jangka panjang dan penyertaan semua pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTUAN tunai sememangnya penting, terutamanya bagi keluarga miskin tegar yang perlu menampung keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perbelanjaan sekolah anak-anak.

Namun, setelah keperluan mendesak itu dipenuhi, satu persoalan besar timbul ialah bagaimana memastikan mereka tidak kembali ke dalam kitaran kemiskinan selepas bantuan itu habis?

Inilah sebabnya dasar pembasmian kemiskinan masa kini tidak lagi hanya tertumpu pada memberi, tetapi lebih kepada membangunkan.

Laporan Semakan Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2023 menegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan mesti beralih daripada pendekatan kebajikan kepada pendekatan pemberdayaan manusia.

Ini bermakna setiap isi rumah miskin perlu diberikan peluang untuk membangunkan kemahiran, ilmu dan jaringan sosial yang membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri. Ia bukan lagi soal memberi bantuan semata-mata, tetapi membina daya tahan dan keupayaan berdikari.

Pendekatan ini turut diterjemahkan melalui pelbagai pelan dan inisiatif nasional seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Sejati Madani yang memberi fokus kepada modal insan serta pembangunan kapasiti masyarakat berpendapatan rendah. Melalui program-program ini, penerima bantuan bukan sahaja diberi dana permulaan, tetapi juga latihan keusahawanan, bimbingan mentor, literasi kewangan dan peluang pasaran digital.

Contohnya, di bawah IPR, peserta dipadankan dengan peluang ekonomi melalui tiga komponen utama; Usahawan Tani (INTAN), Usahawan Industri Makanan (INSAN) dan Platform Perkhidmatan (IKHSAN).

Setiap peserta bukan sekadar diberikan modal asas, tetapi turut dibimbing secara sistematik oleh agensi pelaksana bagi memastikan mereka mampu berdikari dalam tempoh tertentu.

Pendekatan ini menumpukan kepada prinsip “mendiversifikasi sumber pendapatan secara lestari” agar isi rumah miskin tidak bergantung kepada satu punca pendapatan sahaja.

Program Sejati Madani memperluas konsep bantuan bukan tunai melalui pemberian barangan, perkhidmatan, latihan dan kemudahan komuniti yang lebih bersifat tempatan.

Pendekatan ini diatur mengikut konteks setempat misalnya pembangunan koperasi komuniti, ladang bandar serta program kemahiran ibu tunggal.

Ia menggambarkan anjakan dasar negara daripada sekadar “menyara hidup” kepada “menjana kehidupan”. Lebih penting, pendekatan seperti ini menanam rasa harga diri dan keyakinan.

Peserta program bukan lagi melihat diri sebagai penerima bantuan, tetapi sebagai usahawan kecil, penyumbang kepada komuniti, dan akhirnya rakyat yang berdikari.

Dalam Pelan Pembangunan Ekonomi Madani, matlamat sebenar bukan hanya untuk meningkatkan pendapatan, tetapi untuk meningkatkan martabat dan keupayaan insan supaya setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang yang adil untuk memperbaiki kehidupan melalui usaha, bukan nasib.

Ringkasnya, membasmi kemiskinan bukan sekadar mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan hari ini, tetapi memastikan masyarakat mempunyai kemahiran dan kekuatan untuk kekal di luar kemiskinan pada masa depan.

Bantuan kewangan mungkin memulakan langkah pertama, tetapi intervensi bukan kewanganlah yang mengajar mereka bagaimana untuk terus berjalan sendiri.

Menurut Kementerian Ekonomi (2024), pelaksanaan IPR dirangka untuk membantu isi rumah miskin dan B40 mendiversifikasi sumber pendapatan secara lestari, melalui latihan, pemadanan pekerjaan dan peluang pasaran dalam bidang pertanian, makanan dan perkhidmatan.

Laporan RMK12 turut menegaskan bahawa usaha pembasmian kemiskinan perlu memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti manusia dan modal sosial, bukan hanya penyaluran bantuan kewangan.

Pendekatan ini selaras dengan matlamat Ekonomi Madani, yang menumpukan kepada peningkatan keupayaan dan daya tahan rakyat berpendapatan rendah.

Intervensi bukan kewangan seperti latihan kemahiran, sokongan komuniti, bimbingan mikro-perniagaan dan rangkaian sosial memainkan peranan penting dalam proses ini.

Sebuah kajian dasar menyebut bahawa usaha untuk “memperkasakan modal insan dan meningkatkan literasi kewangan” ialah strategi utama dalam mengangkat golongan miskin ke kelas sederhana.

Cabaran dan Persoalan kritikal
Beberapa persoalan kritikal masih menanti jawapan:

Apakah semua peserta bantuan bukan kewangan ini benar-benar dapat mengakses pasaran dan peluang yang dibina?

Walaupun banyak inisiatif memberi latihan keusahawanan dan bimbingan, sebahagian peserta berdepan kesukaran menembusi pasaran yang kompetitif.

Ramai usahawan mikro luar bandar masih bergantung kepada pasaran setempat yang terhad, sedangkan akses kepada pasaran digital atau jaringan pembekal besar memerlukan kemahiran dan modal tambahan.

Antara cabaran utama program peningkatan pendapatan ialah memastikan hasil latihan diterjemahkan kepada pendapatan sebenar dan bukannya hanya sijil penyertaan.

Ini menunjukkan keperluan kepada sistem sokongan selepas latihan seperti pemadanan pasaran, jaringan koperasi dan akses kredit mikro yang lebih fleksibel.

Bagaimana dengan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, luar bandar atau antara komuniti Orang Asli yang mempunyai akses terhad kepada infrastruktur seperti internet atau latihan?

Kekurangan capaian internet, kemudahan latihan dan peluang pekerjaan menjadikan intervensi bukan kewangan sukar dilaksanakan dengan keberkesanan yang sama seperti di kawasan bandar.

Tanpa sokongan infrastruktur digital dan logistik, potensi intervensi seperti pemasaran dalam talian, latihan keusahawanan digital dan pemadanan pekerjaan akan terbatas.

Adakah pendekatan kini cukup inklusif dengan menangani bukan sahaja ekonomi, tetapi juga sosial, budaya dan psikologi yang membelenggu kemiskinan?

Dalam kalangan penerima bantuan, masih ada yang berdepan cabaran mentaliti “bergantung kepada bantuan” atau tekanan psikososial akibat hutang dan ketidaktentuan pekerjaan.

Laporan RMK12 menekankan perlunya intervensi sosial yang merangkumi aspek kesejahteraan mental, motivasi dan komuniti iaitu bukan hanya aspek ekonomi semata-mata.

Ini bermaksud pembangunan komuniti perlu melibatkan sokongan psikososial, kaunseling keluarga dan pemerkasaan wanita agar perubahan yang dicapai benar-benar bersifat lestari.

Isu penyelarasan antara agensi turut menjadi cabaran berterusan. Dengan pelbagai program di bawah kementerian dan agensi berlainan, keberkesanan intervensi sangat bergantung kepada keupayaan koordinasi dan pemantauan bersama.

Pendekatan whole-of-government yang disarankan dalam kerangka Ekonomi Madani perlu diperluas kepada pendekatan whole-of-community di mana kerajaan, sektor swasta dan masyarakat tempatan berganding bahu dalam membina ekosistem keluar daripada kemiskinan.

Persoalan-persoalan ini bukan tanda kegagalan, tetapi cerminan kepada kerumitan realiti sosial yang dihadapi oleh golongan miskin tegar.

Ia mengingatkan kita bahawa membasmi kemiskinan bukan sekadar projek ekonomi, tetapi usaha kemanusiaan yang memerlukan empati, perancangan jangka panjang dan penyertaan semua pihak. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×