GOPENG: Pengusaha resort dan tapak perkhemahan di daerah ini akan memberikan keutamaan kepada keselamatan pengunjung ketika melakukan aktiviti semasa musim tengkujuh.
Pegawai Perhubungan Pekerja Gopeng Glamping Park (GGP) Holdings Sdn. Bhd., Mohd Riduan Jamaludin berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan peserta yang melakukan aktiviti lasak.
“Kami telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi memastikan aktiviti berakit meredah jeram (white water rafting), menjelajah Gua Tempurung, menunggang kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV) dan merentas hutan dalam keadaan selamat.
“Sijil SIRIM ISO 21101:2014 ialah sistem pengurusan keselamatan pelancongan pengembaraan bagi aktiviti berasaskan air dan darat daripada SIRIM QAS International yang menyediakan garis panduan kepada penyedia pelancongan pengembaraan.
“Ia berhubung pelaksanaan dan penyelenggaraan sistem pengurusan keselamatan untuk aktiviti air dan darat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya lagi, penilaian cuaca dan taklimat keselamatan akan diberikan kepada peserta terlebih dahulu sebelum setiap aktiviti dilakukan.
“Gopeng sendiri dikenali sebagai lokasi berkayak meredah arus yang popular di negara ini justeru penting untuk kami sebagai pengendali aktiviti ini meletakkan garis piawaian keselamatan yang ketat,” katanya.
Ujarnya, tempahan resort berkonsepkan glamping itu biasanya penuh pada cuti persekolahan dan hujung tahun kerana ramai mengambil kesempatan menghabiskan cuti tahunan dan menikmati waktu bahagia bersama keluarga.
GGP yang terletak di Kampung Chulek di sini bukan sekadar berkonsepkan percutian ala glamping tetapi menawarkan pengunjung terlibat dalam pelbagai aktiviti lasak yang mencabar adrenalin.-UTUSAN.










