HULU TERENGGANU: Kaedah atau alat teduhan secara tradisional dikenali sebagai ‘rimau rakok’ oleh masyarakat di daerah ini masih menjadi pilihan para petani di Kampung Kuala Menjing untuk berlindung daripada pancaran matahari sewaktu mereka berkebun.
Seorang pekebun, Roslina Yusof, 58, berkata, rimau rakok kebiasaannya digunakan sewaktu mengusahakan tanaman renek seperti kacang tanah, jagung dan padi bukit.
“Sebelum penggunaan kanvas atau guni seperti sekarang, orang terdahulu cuma menggunakan daun-daun pokok bersesuaian yang disusun rapat bagi menghalang cahaya matahari.
“Buluh dijadikan sebagai tiang atau bingkai berbanding kayu kerana lebih ringan dan memudahkan para petani untuk mengalihkannya di sekitar kawasan kebun.
“Apabila matahari mulai meninggi, ‘rimau rakok’ didirikan dan sebelum pekebun balik pula ia perlu diturunkan supaya tidak terbalik atau rosak ditiup angin serta dilanda hujan sekiranya cuaca tidak begitu baik pada malam hari,” katanya ketika ditemui.
Menurut Roslina, penggunaan ‘rimau rakok’ baginya lebih praktikal berbanding payung besar kerana lebih terlindung panas namun cara tradisional itu tidak dapat digunakan petani untuk berteduh sekiranya hujan.
Seorang lagi pekebun warga emas, Midah Ibrahim, 69, berkata, maksud sebenar perkataan ‘rimau rakok’ atau sebab dipanggil begitu tidak diketahui asal- usulnya kerana sudah lama digunakan.
“Kalau berdasarkan cerita didengari, ‘rimau’ itu merujuk kepada harimau tetapi disebut begitu dalam loghat setempat dan ‘rakok’ itu pula merangkak. Namun sejauh mana kebenarannya, saya tidak pasti.
“Cuma setahu saya kawasan pertanian atau kebun penduduk dulunya dikelilingi semak-samun dan hutan. Para pekebun kerap dikejutkan serta ketakutan dengan kehadiran harimau di kebun mereka.-UTUSAN.










