Harussani yang saya kenali - Utusan Malaysia

Harussani yang saya kenali

Pertemuan penulis dengan Harussani selepas Majlis Perdana Ulama-Umara dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2017.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA pemergian Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria ke rahmatullah bukan sahaja mengejutkan negara malah diri saya sendiri yang amat dekat dengan tokoh ulama itu menerusi persahabatan akrab arwah dengan Allahyarham bapa saya yang dipanggil Babah, Abu Bakar Mohamed.

Boleh dikatakan persahabatan itu sering bermain dalam memori ingatan saya apabila Babah pernah membawa kami sekeluarga mengunjungi kediaman tokoh ulama itu di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh sekitar 1990-an. Malah sebutan ana, anta antara Harussani dengan Babah sama ada menerusi panggilan telefon atau perjumpaan bersemuka jelas menunjukkan persahabatan erat antara kedua-dua mereka sehingga meninggalkan memori manis dalam ingatan saya sewaktu kecil sehingga kini.

Meskipun Babah bertugas sebagai Penolong Setiausaha Sulit kepada Sultan Perak, namun hubungan itu bukan sekadar atas dasar kerja. Babah sering menceritakan perbualannya dengan Harussani termasuk pandangan tokoh ulama itu terhadap isu-isu semasa.

Tidak dinafikan perkara itu mempengaruhi pemikiran saya sehingga menjadikan Harussani sebagai contoh ikutan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama di sekolah agama tertua di Perak, Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan meneruskan pengajian jurusan Sarjana Muda Syariah (Usul Fiqh) di Universiti Malaya kerana mahu bercita-cita menjadi Mufti Perak seperti Harussani pada suatu hari nanti.

Harussani merupakan antara sahabat Babah yang tiba di rumah saya sebaik sahaja mendapat berita pemergian Babah pada 20 Januari 1999 atau bersamaan 2 Syawal 1419 sewaktu dalam tidur.

NADI UTAMA
Harussani antara nadi utama membangunkan semula Madrasah Idrisiah bersama Babah yang ketika itu menjawat Setiausaha Lembaga Tadbir sekolah dan Mudir (Pengetua) pada waktu itu, Musa Zainuddin selepas Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah menaiki takhta. Sumbangan itu dirasai sehingga kini apabila sekolah tersebut berjaya melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dalam jurusan agama dan profesional. Harussani sendiri merupakan bekas pelajar Madrasah Idrisiah dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Pelajar Madrasah Idrisiah.

Harussani mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar sebelum menyambung pengajian di Anglo Chinese School, Parit Buntar.

Allahyarham kemudian menyambung pendidikan agama di Madrasah Idrisiah dari 1956 hingga 1959 sebelum menyambung pengajian agama di Kuliah Al-Attas, Johor Bahru, Johor dari 1959 hingga 1960. Kembara ilmu Harussani kemudiannya diteruskan lagi apabila beliau menyambung pelajarannya di Kolej Islam Malaya Klang, Selangor dari 1960 hingga 1964.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian, Harussani diterima bekerja sebagai penterjemah di Unit Cawangan Khas, Kementerian Dalam Negeri dari 1964 hingga 1967, kemudiannya menjadi guru di sebuah sekolah di Pulau Pinang selama tiga bulan sebelum menjawat jawatan Kadi di Jabatan Agama Pulau Pinang bermula 2 November 1967 hingga 1973.

Ekoran khidmat cemerlang beliau sebagai kadi, Harussani kemudiannya dilantik sebagai Kadi Besar dari 1973 hingga 1985. Ketokohan Harussani dalam membicarakan isu-isu agama Islam melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Mufti Perak bermula 1985 hingga kini sekali gus menjadi Mufti paling lama di Perak.

Harussani, 82, yang dirawat kerana positif Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh meninggal dunia pada pukul 2.45 petang Ahad lalu. Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat orang anak, 20 cucu dan tiga cicit.
Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×