DUNIA kini menyaksikan detik kemanusiaan yang menyayat hati apabila Misi Sumud Flotilla Global berlayar merentas Laut Mediterranean dengan membawa bantuan makanan, ubat-ubatan serta harapan umat sejagat buat rakyat Gaza yang sekian lama berada di bawah kepungan haram rejim Zionis.
Ketika kapal-kapal misi ini diancam dan dirampas tentera Israel, Malaysia segera mengambil tindakan pantas melalui saluran diplomasi antarabangsa. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghubungi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi mendapatkan bantuan diplomatik untuk membebaskan dan membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang ditahan pihak Israel.
Anwar menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap tindakan zalim tersebut, malah akan terus memperjuangkan pembebasan Palestin di semua peringkat antarabangsa.
Usaha kerajaan ini membuktikan solidariti Malaysia terhadap Palestin bukan hanya bersifat retorik tetapi tindakan berani yang berlandaskan prinsip kemanusiaan dan keimanan.
Keganasan rejim Zionis terhadap Gaza masih berterusan tanpa henti. Serangan demi serangan menyebabkan lebih 66,000 nyawa terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Rumah, sekolah, hospital serta masjid menjadi sasaran tanpa belas kasihan. Rakyat Gaza kini berdepan kelaparan, kekurangan air bersih, ubat-ubatan dan tempat tinggal.
Situasi ini mengingatkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu berdoa: Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami seorang pemimpin yang membela kami”. (Surah al-Nisa’: 75)
Ayat ini menyeru umat Islam agar bangkit menentang kezaliman serta membantu golongan tertindas. Gaza hari ini menjadi gambaran nyata seruan Allah SWT tersebut kapada umat Islam.
Lebih 44 negara menyertai Misi Sumud Flotilla sebagai lambang kesatuan hati manusia menolak kezaliman. Sukarelawan daripada pelbagai bangsa dan agama bersatu menentang penjajahan moden Israel yang menafikan hak asasi rakyat Palestin. Walaupun kapal-kapal bantuan dirampas dan aktivis ditahan, keberanian sukarelawan menjadi inspirasi kepada seluruh dunia.
Ketika suasana genting itu, Malaysia memainkan peranan penting. Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan akhirnya selamat dibebaskan dan tiba di tanah air melalui penerbangan dari Istanbul ke Kuala Lumpur pada awal Oktober 2025.
Namun, perjuangan belum berakhir. Sebaik kepulangan mereka, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dan pertubuhan lain mula menggerakkan misi susulan bantuan darat dan laut ke Gaza, termasuk kutipan dana bagi menampung keperluan logistik dan perubatan.
Kehadiran Flotilla bukanlah ancaman ketenteraan tetapi simbol suara nurani manusia yang menuntut kebebasan dan menolak kezaliman.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Perumpamaan orang-orang beriman dalam kasih sayang, belas kasihan dan simpati antara mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila salah satu anggota merasa sakit, seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga malam dan demam”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menegaskan penderitaan Gaza adalah penderitaan umat Islam sejagat.
Palestin bukan sekadar wilayah yang dijajah tetapi bumi suci para anbiya’, tempat bersemayamnya Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam. Membela Palestin bererti mempertahankan maruah Islam dan amanah iman.
TUNTUTAN IMAN
Hadis ini mengajar solidariti terhadap Palestin bukan pilihan moral tetapi tuntutan iman. Keengganan membela mereka adalah tanda kelalaian terhadap tanggungjawab agama.
Terdapat beberapa panduan dan tindakan umat Islam yang boleh dilaksanakan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Pertama, nyatakan solidariti secara terbuka. Umat Islam perlu menyatakan pendirian menentang kezaliman Zionis secara jelas.
Keberanian menzahirkan solidariti melalui kenyataan, perhimpunan aman, penulisan atau media sosial adalah cara menyalakan kesedaran. Diam bererti memberi ruang kepada penindas untuk terus bermaharajalela.
Kedua, perkukuh sokongan diplomasi dan advokasi. Tanggungjawab kerajaan dan NGO ialah membawa isu Palestin ke meja antarabangsa, menekan badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar bertindak, serta memastikan keselamatan sukarelawan.
Ketiga, sumbang mengikut kemampuan. Hulurkan derma, tenaga sukarelawan, kemahiran profesional atau sekadar doa. Nabi SAW mengajar siapa yang tidak mampu dengan tangan, bantulah dengan lidah dan jika tidak mampu juga, bantulah dengan doa, itulah selemah-lemah iman.
Keempat, didik generasi tentang tanggungjawab perjuangan. Kesedaran Palestin mesti dipupuk sejak kecil. Penghayatan sirah, kuliah agama, bahan bacaan, seni dan media dakwah boleh dijadikan medium menanam cinta kepada Masjid al-Aqsa. Generasi yang faham perjuangan ini akan menjadi penyambung mata rantai jihad hingga ke hari kiamat.
Kelima, gunakan kuasa pengguna dan ekonomi. Kuasa membeli adalah senjata besar. Umat Islam boleh memboikot produk dan syarikat yang menyokong Zionis serta memilih produk halal dan tayyib dari negara Islam atau neutral. Gerakan ekonomi umat adalah langkah nyata menentang penjajahan moden.
Keenam, sebarkan kesedaran melalui media dan teknologi. Media sosial adalah medan pertempuran maklumat. Setiap individu boleh menjadi ‘mujahid digital’ dengan berkongsi fakta sahih, menangkis propaganda Zionis dan menyebarkan doa serta kata semangat kepada rakyat Gaza. Maklumat yang benar adalah benteng melawan fitnah.
Tragedi Gaza bukan sekadar kisah penderitaan manusia tetapi lambang ujian iman dan maruah umat Islam. Kepulangan sukarelawan Malaysia bukan penamat perjuangan, sebaliknya pembuka babak baharu dalam solidariti ummah.
Kerajaan menunjukkan tindakan berani melalui diplomasi dan komitmen kemanusiaan manakala rakyat pula harus meneruskan perjuangan ini dengan doa, sumbangan dan pendidikan kesedaran.
Menolong Palestin bukan pilihan sampingan tetapi amanah iman yang wajib disempurnakan oleh setiap umat Islam.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).










