Kejadian pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini memaparkan satu sisi penting tetapi amat buruk sifatnya, iaitu kecerdasan emosi yang tidak berjaya diperlihat sesetengah pihak untuk sekurang-kurangnya menunjukkan simpati yang walaupun dipura-purakan sahaja di hadapan khalayak, kalaupun tiada empati yang tulen di dalam jiwa.
Kecerdasan emosi adalah kebolehan kita sebagai manusia memahami, mengguna dan mengurus emosi sendiri pertama-tamanya dalam cara positif untuk antaranya mengurangkan tekanan dalam keadaan tegang, bertindak dengan waras setelah memahami dengan baik di samping yang terpenting, iaitu bersimpati dan lebih baik lagi, ada empati terhadap pihak yang terkesan.
Semua ini diperlukan bukan sahaja untuk mengatasi masalah semasa yang timbul tetapi bagi meredakan konflik yang sedang berlaku. Ia juga penting kerana merupakan kemahiran hidup bermasyarakat secara harmoni, iaitu kecekapan mengubah suai kelakuan kita agar bersifat positif untuk berhadapan dengan cabaran yang wujud.
Hal semudah ini, yakni kemahiran hidup bermasyarakat harmoni yang rata-ratanya ada pada kita sebagai manusia kerana berakal, didapati langsung tidak ada pada sesetengah orang. Apabila tiada, akan wujudlah bukan sahaja keadaan emosi pihak lain yang terkesan tidak berjaya difahami, tindakan pihak yang tiada kemahiran ini didapati tidak sensitif dan boleh mencetuskan konflik.
Pihak yang tiada kecerdasan emosi yang tinggi atau langsung tiada sebenarnya dapat dikenal pasti dengan mudah. Mereka ini didapati apabila berhadapan dengan masalah dan kritikan, banyak menafi, menyalah pihak lain dan memberi pelbagai alasan tidak munasabah. Selain itu, mereka tidak mahu mengambil serius tentang perkara yang berlaku serta bersikap kasar pula apabila ditanya, selain tersasar pula jawapannya akibat tidak mahu mendengar dengan baik semasa dimaklumkan.
Natijahnya di sini ialah mengapa wujudnya gejala ini pada sesetengah orang walaupun dilahirkan dengan akal sempurna untuk berfikir waima perkara yang mudah-mudah sahaja? Sehubungan itu, sebenarnya menjadi fitrah semula jadi manusia untuk menunjukkan simpati semasa berlakunya musibah dan bukan sesekali yang sebaliknya. Dalam hal ini, mereka yang bukan sahaja tiada simpati tetapi mempersenda marabahaya yang berlaku didapati langsung tidak mempunyai naluri kasih untuk mempamerkan rasa kasihan.
WARAS
Dalam pada itu, bagi yang memiliki naluri ini, mereka bijak bertindak sebagai manusia waras sekurang-kurangnya di hadapan khalayak untuk tidak mempersenda keadaan, lebih-lebih lagi sewaktu nahas. Namun, sebilangan orang didapati tiada langsung naluri ini untuk tidak menimbulkan kontroversi meskipun semasa kemalangan.
Sebenarnya, kecerdasan emosi yang didapati kurang atau tiada pada sesetengah orang boleh dipupuk, yakni diajar dan dipelajari. Untuk itu, syarat paling penting ialah pihak berkenaan perlu mempunyai motivasi peribadi ke arah ini. Dalam hal pemupukan ini, kecerdasan emosi penting kerana dapat membantu seseorang lebih-lebih lagi pemimpin untuk pertama-tamanya berkomunikasi dengan lebih baik. Ini kemudiannya boleh membantu mengurangkan tekanan, meredakan konflik, menjaga hubungan agar tetap baik serta mewujudkan rasa simpati dan empati terhadap pihak lain. Sesungguhnya semua ini amat membantu untuk menangani banyak masalah dan secara amat berkesan pula.
Kecerdasan emosi ini bukan sahaja penting, ia perlu ada pada setiap pemimpin, lebih-lebih lagi di peringkat negara. Ini kerana ia merupakan tulang belakang kepada pemahaman isu nasional yang perlu ditangani dan diselesaikan untuk kepentingan negara. Ini juga diperlukan untuk mewujudkan tindakan yang berkesan daripada pemimpin sebagai teladan kepada masyarakat untuk membangkit semangat dan banyak lagi perkara positif bagi menjaga citra baik untuk negara.
Sesungguhnya kecerdasan emosi tidak pun menjadi masalah dalam kalangan rakyat di negara ini. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila rakyat didapati mendengar dengan khusyuk semasa pemimpin bercakap sama ada sewaktu taklimat atau lain-lain, lebih-lebih lagi dalam bentuk bersemuka. Walaupun sesetengahnya tidak berpendidikan tinggi, mereka jauh lebih bijak dari segi kecerdasan emosi ini untuk sekurang-kurangnya memperlihat minat secara luaran terhadap segala yang diperkata.
Bukan sahaja kepada pemimpin, kita semua hendaklah pada setiap masa menjadi manusia yang ada sifat kemanusiaannya. Dengan ini, pemimpin harus sentiasa ingat bahawa masyarakat yang mereka pimpin itu terdiri daripada manusia. Untuk itu, masyarakat seluruhnya bukan sahaja perlu dihormati, mereka juga hendaklah pertama-tamanya diladeni selaku manusia sebelum sebagai rakan sekerja dalam ehwal kepimpinan negara.
Kepada sesiapa yang merasakan diri mereka kurang atau tiada kecerdasan emosi ini, mereka boleh mula memilikinya dengan kesediaan untuk mendengar khususnya bagi mendapat pemahaman baik agar maklum balas mereka lebih tepat ketika ditanya. Selain itu, segala kritikan hendaklah mereka terima dengan minda dan hati terbuka melalui respons positif dan bukannya reaksi negatif. Dalam pada adanya semua ini, tiada sifat yang lebih afdal daripada mereka menunjukkan empati, iaitu ikut merasai dan turut menanggung musibah yang menimpa dengan berkongsi emosi dan tidak secara simpati sahaja yakni hanya memperlihat rasa kasihan.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










