SETIAP kali isu pendidikan dibincangkan, timbul cadangan agar pelajar Malaysia menguasai sehingga tiga bahasa bagi menjamin masa depan negara. Hujah ini kedengaran menarik tetapi perlu dilihat dengan lebih kritis.
Persoalan sebenar yang perlu kita tanyakan ialah adakah benar kemajuan sesebuah negara ditentukan oleh banyaknya bahasa asing yang dipelajari oleh rakyatnya? Atau sebenarnya ia bergantung kepada sejauh mana rakyat berpegang teguh kepada bahasa kebangsaan yang menjadi nadi tamadun sendiri?
Hakikat yang ditunjukkan oleh pengalaman dunia jelas menafikan perkara tersebut. Negara-negara maju dan kuasa besar dunia membuktikan bahawa kemajuan bukan datang daripada penekanan bahasa asing, sebaliknya daripada kekuatan dan keyakinan terhadap bahasa kebangsaan sendiri.
Kekuatan sesebuah negara tidak pernah lahir daripada pergantungan kepada bahasa asing sebaliknya daripada keyakinan terhadap bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa inovasi dan bahasa perpaduan. Pengalaman ini menolak tanggapan bahawa hanya dengan menguasai pelbagai bahasa asing, barulah masa depan negara terjamin.
Bahasa kebangsaan bukan sekadar alat komunikasi. Ia adalah teras identiti bangsa dan asas kepada perpaduan rakyat yang berbilang kaum.
Sekiranya bahasa asing diberikan kedudukan lebih utama dalam pendidikan, kedudukan bahasa kebangsaan akan terpinggir lalu mengundang kesan jangka panjang terhadap identiti nasional.
Bayangkan generasi muda lebih selesa berfikir dan menulis dalam bahasa asing sehingga akhirnya mereka hilang keyakinan terhadap bahasa ibunda sendiri. Pengalaman negara-negara yang tegas mempertahankan bahasa mereka membuktikan bahawa kemajuan lebih mudah dicapai apabila ilmu disampaikan dalam bahasa yang difahami secara menyeluruh oleh rakyatnya sendiri.
Di Malaysia, kekuatan sebenar pendidikan seharusnya digerakkan melalui sistem sekolah satu aliran yang menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya.
Sistem ini terbukti lebih kukuh dalam membina perpaduan dan menanam identiti nasional berbanding menekankan penguasaan tiga bahasa yang akhirnya hanya mewujudkan kecelaruan.
Apabila murid daripada pelbagai kaum belajar di bawah satu bumbung dengan satu bahasa, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu, malah turut membina semangat kebersamaan sebagai rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan mesti menjadi nadi sistem pendidikan manakala bahasa asing dipelajari sebagai nilai tambah, bukannya sebagai syarat utama.
Sejarah membuktikan bahawa bahasa adalah roh kepada tamadun. Tamadun yang teguh ialah tamadun yang mempertahankan bahasanya sendiri.
Tamadun Islam misalnya, berkembang pesat kerana ilmu disampaikan dalam bahasa Arab sehingga melahirkan ilmuwan hebat yang diiktiraf hingga ke hari ini.
Demikian juga tamadun Barat yang mengangkat bahasa mereka dalam ilmu dan pendidikan. Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan agenda tiga bahasa sehingga mengorbankan bahasa kebangsaan.
Jika negara kuasa besar dunia mampu berdiri megah dengan bahasa mereka sendiri, Malaysia juga tidak harus ragu-ragu untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai nadi pembangunan dan kemajuan bangsa.
Bahasa jiwa bangsa dan bangsa yang bermaruah ialah bangsa yang teguh mempertahankan bahasanya sendiri.
Generasi akan datang hanya dapat memahami erti kemerdekaan dan identiti jika bahasa kebangsaan terus dipertahankan.
Oleh itu, tugas kita bukan sekadar memastikan bahasa kebangsaan diajar di sekolah, tetapi lebih daripada itu, memastikan ia dihormati, dimartabatkan dan dijadikan landasan utama segala urusan ilmu serta pentadbiran negara. – UTUSAN
KHAIDIR BAHARUDDIN
Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan










